DANIAL Syahmi Tak Puas P5, Hakim Danish Janji Tak Ulangi Kesilapan Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/6/20242 min read

KEDUDUKAN ke-5 pada perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Portugal, semalam adalah yang terbaik pernah dicapai pelumba negara, Danial Syahmi Shahril di kejuaraan berkenaan.

Begitupun, pelumba yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team itu mengakui dia mengharapkan keputusan lebih baik pada aksi di Litar Estoril itu namun terpaksa akur berikutan pemilihan tayar yang dibuat.

Beraksi dalam keadaan litar separa basah dan kering, Danial Syahmi yang menggunakan tayar jenis kering mengakui keyakinannya berkurang ketika mengharungi laluan basah namun gembira dengan pungutan mata yang diperoleh.

"Ini adalah keputusan terbaik saya sepanjang tiga tahun di JrGP," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu yang juga naib juara Asia Talent Cup 2021.

"Saya harapkan saya dapat keputusan yang lebih baik dari ini cuma, kondisi litar adalah separuh basah dan separuh kering membantutkan pergerakan saya.

"Saya kurang yakin di kawasan basah kerana saya pakai tayar untuk litar kering. Ada sedikit jurang di antara saya dan kumpulan depan tetapi saya masih bertarung dan habiskan perlumbaan di kedudukan lima terbaik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Hakim Danish Ramli yang memulakan perlumbaan di kelompok belakang (petak ke-30) susulan penalti yang diterima mengakui melakukan kesilapan sekalipun mengharungi permulaan yang baik.

Bermula di petak ke-3 tercorot, pelumba pasukan SIC Racing - Msi itu berjaya memintas 22 pelumba di pusingan pertama untuk menghuni tempat ke-8 pada satu ketika sebelum melakukan kesilapan.

"Saya bermula dengan baik. Bermula dari petak ke-30, saya memintas 22 pelumba dalam pusingan pertama dan menempatkan saya di tempat ke-8 buat seketika.

"Kemudian, saya melakukan brek di garisan putih dan ketika itu permukaan di situ dalam keadaan basah lalu saya terlajak keluar dan terlepas banyak posisi ke kedudukan ke-24.

"Saya cuba untuk kejar kelompok hadapan dan memintas satu demi satu dan saya tamatkan perlumban di kedudukan ke-15.

"Semasa dalam perlumbaan, keadaan litar adalah sedikit basah dan sedikit kering, dan saya dah cuba sehabis baik saya. Minggu ini saya agak bergelut tetapi saya dapat mengadaptasi dan memperbaiki dalam setiap sesi.

"Saya tidak akan mengulangi kesilapan saya dan saya akan kaji lebih lagi untuk tidak membuat kesilapan sebegini di perlumbaan yang akan datang. Saya akan teruskan berusaha untuk buat yang lebih baik lagi selepas ini."

Selepas Estoril, Pusingan 3 JrGP 2024 dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada 18 dan 19 Mei depan.