DANILO Petrucci Ganti Toprak Razgatlioglu Di BMW Motorrad?
Selain Toprak Razgatlioglu, BMW Motorrad dikatakan turut mencari pengganti kepada seorang lagi pelumbanya, Michael van der Mark bagi menguatkan pasukan itu dalam kempen WorldSBK musim depan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/4/20251 min read


BMW Motorrad dilaporkan sudah mempunyai pelumba bagi menggantikan lompong yang ditinggalkan pelumba bintangnya, Toprak Razgatlioglu di pentas WorldSBK pada musim 2026.
Seperti diketahui, Razgatlioglu membuat keputusan untuk menyertai kempen MotoGP pada musim depan bersama pasukan Pramac Yamaha.
Situasi itu jelas memberikan 'pening' kepada BMW Motorrad bagi menggantikan penyandang juara dunia WorldSBK itu tetapi menurut laporan GPOne, pelumba Itali, Petrucci dan pengurusnya Alberto Vergani sudah pun mencapai persetujuan untuk menyertai pasukan itu.
Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan di pusingan di Hungary, Petrucci tertawa besar dan berkata "Saya tidak tahu!"
BMW Motorrad sebelum ini mengesahkan mereka sudah menyenaraikan beberapa pelumba dan keputusannya akan diketahui selepas cuti musim panas.
"Kami mempunyai beberapa pelumba dalam senarai kami dan keputusan terakhir, saya fikir pada rehat musim panas kita akan mendapat lebih banyak maklumat," kata bos BMW Motorrad, Sven Blusch.
Pernah berlumba di pentas MotoGP, Petrucci menikmati kempen terbaiknya di WorldSBK apabila mencatat kemenangan hatrik di Cremona Itali pada musim lalu.
Dia yang beraksi bersama pasukan satelit Ducati, Barni Spark Ducati dan kontraknya dijadual berakhir pada penghujung musim ini.
Selain Razgatlioglu, BMW Motorrad dikatakan turut mencari pengganti kepada seorang lagi pelumbanya, Michael van der Mark.
