DAPAT Bersaing Dengan Marc Marquez Pun Pencapaian - Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/22/20251 min read

PEDRO Acosta memang diketahui mengagumi Marc Marquez malah pelumba Red Bull KTM itu menyifatkan bersaing di atas litar dengan juara dunia lapan kali di MotoGP sebagai 'pencapaian'.

Acosta tiba ke MotoGP pada musim lalu dengan jangkaan cukup tinggi malah dilabel sebagai 'Marc Marquez' seterusnya selepas turut memiliki dua gelaran dunia dalam kelas Moto2 dan Moto3.

Berlumba bersama pasukan Tech3 KTM, Acosta meraih podium pertamanya di MotoGP seawal pusingan kedua dan secara keseluruhan sembilan podium dalam Perlumbaan Sprint dan GP sepanjang 2024.

Begitupun, kempen pelumba kelahiran Sepanyol itu pada 2025 tidak berjalan seperti diharapkan malah hanya mengumpul 24 mata selepas empat pusingan.

Dalam temu bual bersama Mundo Deportivo, Acosta ditanya tentang kemungkinan berlumba menentang Marquez menggunakan jentera yang sama susulan spekulasi mengenai perpindahannya ke VR46 Ducati dan pelumba Ducati Lenovo itu dalam responnya gembira jika ia berlaku.

"Jika seorang legenda seperti Marc berkata begitu, ia adalah sesuatu yang mengagumkan dan positif," kata Acosta. "Kita lihat apa yang bakal berlaku di masa depan."

Acosta dalam pada itu turut meluahkan rasa kecewa dengan situasi semasa di KTM.

"Saya bukan saja bersemangat untuk menewaskannya, tetapi saya mahu berada dalam keadaan yang membolehkan saya kalah kepadanya," kata Acosta.

"Bersaing dengan seorang pelumba sehebat itu sudah pun satu pencapaian, termasuk ketika berada di belakang."

Acosta ketika ini dikaitkan dengan perpindahan keluar daripada KTM pada 2026 antaranya bersama VR46 Ducati, pasukan 'kilang' Honda HRC dan pasukan satelit Yamaha, Pramac.

Menariknya, ketiga-tiga pasukan mempunyai kekosongan pada tahun depan.