MARC Marquez mengakui perpindahan ke pasukan 'Kilang' Ducati Lenovo memberinya 'peluru' yang berkualiti dalam misinya memburu gelaran dunia MotoGP.
Juara dunia lapan kali itu menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing musim lalu untuk melihat sama ada dia masih mampu kompetitif.
Menariknya apa yang berlaku, pelumba kelahiran Sepanyol itu dipilih menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo selepas separuh musim menerusi prestasi yang ditampilkannya.
Bergelut dengan Honda, Marquez akhirnya menamatkan kempen 2024 dengan tiga kemenangan dalam perlumbaan utama dan menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.
Dan lebih mengujakan, pelumba berusia 32 tahun itu menggunakan jentera setahun lebih tua, Ducati GP23 berbanding Ducati GP24 yang digunakan Martin dan Bagnaia.
Bergelar pelumba Ducati Lenovo secara rasmi pada 1 Januari lalu, Marquez ketika ditemuramah penyiar TVE dia kini mempunyai 'kelengkapan' terbaik untuk memburu gelaran dunia kesembilannya.
"Saya akan mempunyai dua peluru yang amat baik pada 2025 dan 2026," kata Marquez memetik laporan Marca.
"Kita tidak tahu jika ia akan menjadi yang terakhir atau tidak, tetapi ia akan menjadi dua peluru yang amat baik bagi bersaing merebut gelaran, kerana kami adalah pasukan terbaik dan kami akan cuba memberikan 100 peratus.
"Tetapi yang pertama adalah pra-musim, tetapi apa yang jelas adalah ya, dengan semangat yang tinggi kamu ada ketika memulakan sesuatu.
"Akan ada kemalangan, kerana ia adalah sebahagian daripada sukan kami, tetapi harapan saya adalah agar tiada kecederaan. Kemudian ada sasaran, jelas, saya mahu bersaing untuk merebut gelaran dunia sehingga perlumbaan terakhir."
Marquez dan Ducati Lenovo dijadual mendedahkan 'liveri' baharu pasukan itu pada 20 Januari ini di Itali.