DARI Gresini Ke VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio Kekal Di MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/28/20231 min read

SEJURUS kontrak Luca Marini ke Repsol Honda diaktifkan, VR46 Ducati turut mengesahkan kehadiran pengganti kepada adik pemilik pasukan itu iaitu pelumba yang disingkirkan Gresini Ducati, Fabio di Giannantonio.

Disisihkan bagi memberi laluan kepada Marc Marquez di Gresini, Di Giannantonio berdepan tempoh terburuk dalam kariernya namun mengambil cabaran itu bagaikan juara.

Dan hasilnya, selepas meraih tempat kelapan (Terbaik karier ketika itu) di GP Jepun, pelumba kelahiran Itali itu memperoleh tempat keempat di GP India dan debut podium MotoGP di GP Australia.

Selepas muncul naib juara dalam Perlumbaan Sprint di GP Qatar, Di Giannantonio melengkapkan kebangkitannya dengan memenangi Perlumbaan utama.

Pelumba itu hampir melakar kemenangan berganda ketika di GP Valencia namun dinafikan oleh Francesco Bagnaia untuk melepasi garisan penamat sebagai naib juara.

Begitupun, kejayaan itu kemudian 'digugurkan' oleh Dorna atas penalti tiga saat yang dikenakan kepadanya.

Dan tindak balas yang dilakukan Di Giannantonio itu sememangnya berjaya meyakinkan VR46 Ducati sekaligus menolah pilihan yang lain antaranya merekrut pelumba Moto2, Fermin Aldeguer dan Tony Arbolino untuk menjadi rakan sepasukan Marco Bezzecchi.

"Saya gembira untuk menyertai pasukan yang kuat seperti VR46 Racing Team. Banyak yang saya boleh belajar dan saya tidak sabar untuk mula bekerja untuk projek ini dan kami boleh melakukan sesuatu yang amat baik.

"Sepanjang dua musim saya di MotoGP, saya banyak belajar dan semakin matang dan bersama pasukan itu saya sudah pasti mampu melangkah lebih jauh dan mencapai keputusan yang hebat."

Sebagai info, Di Giannantonio menjadi pelumba pertama yang menyertai VR46 bukan daripada alumni Akademi VR46.