DAVID Alonso Kini Duta Jenama RCB!
TERKINI
2/25/20251 min read


SYARIKAT pengeluar alat ganti dan aksesori motosikal berprestasi tinggi Malaysia, RCB mengumumkan kerjasama dengan juara dunia Moto3 2024, David Alonso yang menyaksikan pelumba kelahiran Colombia itu kini bergelar duta jenama berkenaan.
Dilabel sebagai salah seorang bakat muda paling berpotensi tinggi di Kejuaraan Motosikal Dunia, Alonso pada musim ini 'dinaikkan pangkat' berlumba dalam kelas Moto2 bersama pasukan CFMoto Aspar Racing Team.
Seperti diketahui, pelumba berusia 18 tahun itu pada musim lalu mendominasi saingan Moto3 dengan merangkul keseluruhan 14 kemenangan dan mengesahkan gelaran dunia lebih awal di Grand Prix Jepun.
Tiba di Malaysia semalam, Pengarah Pemasaran Kumpulan MKA, Marcus Leong berkata pihaknya teruja dengan kehadiran Alonso dalam keluarga RCB yang turut menjadi pelumba pertama di Kejuaraan Motosikal Dunia bergelar duta jenama itu.
"Dedikasi Alonso terhadap perlumbaan dan semangatnya untuk kecemerlangan
amat selari dengan nilai teras jenama ini," kata Marcus pada majlis menandatangani kontrak duta jenama itu di Sepang, hari ini.
"Kerjasama dengan Alonso bukan sahaja bertujuan untuk memperluaskan kehadiran RCB di peringkat global, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti sukan permotoran tempatan, serta berhubung dengan peminat dan pelumba yang berkongsi minat mendalam terhadap sukan ini.
"Ia juga membuktikan komitmen RCB terhadap inovasi, prestasi dan ketepatan dalam industri sukan permotoran."
Alonso dalam pada itu mengakui menandatangani perjanjian dan mewakili RCB sebagai duta jenama itu sebagai detik membanggakan dalam kariernya.
"RCB adalah jenama yang mempunyai hubungan yang kuat dengan sukan permotoran dan mempunyai pengaruh yang mendalam dalam komuniti perlumbaan.
"Saya amat teruja untuk berhubung dengan peminat, berkongsi perjalanan karier saya dan mempromosikan produk berprestasi tinggi yang meningkatkan pengalaman sukan permotoran."
Selain Alonso, RCB juga menyokong bakat tempatan seperti Hakim Danish Ramli dan
Qabil Irfan Azlan dari ZK Racing yang menunjukkan mereka memiliki potensi besar dalam dunia sukan permotoran.










