DAVIDE Tardozzi Percaya MARC Marquez Akan Menang Tahun Ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/21/20241 min read
MARC Marquez masih belum merasai nikmat kemenangan di MotoGP musim ini tetapi tiga tempat kedua Perlumbaan GP dan empat Perlumbaan Sprint menunjukkan pelumba Gresini Ducati itu berupaya menjuarai perlumbaan.
Mengakui tidak begitu menekankan kemenangan pada musim pertamanya bersama Ducati dan menggunakan jentera 'purba' Ducati GP23, peluang juara dunia lapan kali itu tampak lebih cerah apabila dia mula menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo musim depan.
Begitupun dengan potensi dan persembahan yang ditunjukkan setakat ini, termasuk ketika di Red Bull Ring, Marquez diyakini mampu untuk menamatkan kemarau kemenangannya pada musim ini, kata bos Ducati Lenovo Davide Tardozzi.
"Saya mengatakan yang Marquez akan bertarung merebut kejuaraan pada Ahad (GP Austria) dan jika kita lihat pada separuh kedua perlumbaan, dia adalah pelumba terpantas di litar," kata Tardozzi kepada AS.
"Dengan permulaan yang bagus, dia boleh bersaing untuk kedudukan podium malah mungkin menang."
Berdepan masalah mekanikal yang menyaksikannya terperosok ke kedudukan 13 di awal perlumbaan, Marquez bangkit untuk menamatkan aksi di kedudukan ke-4 yang menyaksikan lensa kamera tertumpu kepadanya berbanding persaingan membabitkan pelumba depan.
"Kini, kami fokus kepada kejuaraan kami. Marc akan berada bersama kami tahun depan," kata Tardozzi.
"Tetapi ketika ini, pelumba rasmi kani adalah Pecco dan Enea, jadi kami menjangkakan mereka akan meraih keputusan sebaik mungkin.
"Tetapi dengan berkata demikian dan bukan secara melulu, kami tahu yang Marc mempunyai potensi yang hebat. Kami akan menikmatinya pada tahun depan, tetapi dia akan menang perlumbaan sebelum musim ini berakhir."