DEBUT Ducati 'Menggembirakan' Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/10/20241 min read
MARC Marquez akhirnya memperoleh apa yang diharapkan selama bertahun-tahun - bersaing dengan kelompok depan MotoGP - ketika Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Qatar 2024, awal pagi tadi.
Selepas bertahun-tahun bersama Honda dan mencapai status legenda, Marquez membuat kejutan dengan menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Ducati dalam usahanya untuk sekali lagi mencabar kejuaraan dunia.
Dan pelumba yang sudah memiliki enam gelaran dunia MotoGP itu meraih apa yang diinginkan sekian lama di Losail dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dalam aksi yang dimenangi pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin.
Memulakan perlumbaan di petak keenam, Marquez yang menunggang jentera spesifikasi 2023 pada satu ketika berpotensi untuk meraih podium turut melakukan catatan terpantas ketika perlumbaan.
"Ada senyuman (ketika saya menanggalkan helmet) kerana saya bersaing dengan pelumba-pelumba di depan di Qatar, litar di mana saya normalnya agak jauh ke belakang pada tahun-tahun sebelum ini," kata memetik laporan MotoGP.com.
"Saya berada di sana bersaing dengan pelumba-pelumba di depan, dan malah memintas salah seorang daripada mereka ketika perlumbaan.
"Kesilapan terbesar saya adalah ketika pusingan pertama, di mana saya kehilangan banyak masa, tetapi selain daripada itu saya gembira dan kami juga mempelajari beberapa perkara dan mengetahui kami perlu bertambah baik jika kami mahu menamatkan babak kedua perlumbaan dalam posisi yang baik," katanya.
Mengulas lanjut, Marquez dalam pada itu mengakui dia masih belum bersedia untuk mencabar kedudukan podium ketika ini.
"Tidak, tidak, tidak, kami tidak bersedia untuk merebut kejayaan podium. Ada empat atau lima pelumba lebih pantas berbanding kami," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu dengan rakan sepasukannya, Alex Marquez menamatkan aksi di kedudukan ketujuh.
"Hari ini kami menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima, dan seperti saya cakap sebelum ini, saya hanya melihat kedudukan enam terbaik, cuba untuk bersaing setiap minggu.
"Dan ada hari ia menjadi baik, dan hari yang buruk. Perkara yang positif adalah jika kami mampu menguruskan babak kedua perlumbaan yang baik."
Sebagai perbandingan, pelumba terbaik Honda (Repsol Honda) adalah bekas rakan sepasukannya, Joan Mir yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.
Sebagai info, Gresini memenangi dua perlumbaan terakhir di GP Qatar sebelum ini menerusi Enea Bastianini (2022) dan Fabio di Giannantonio (2023).