DEBUT Global KTM 250 Adventure (2025) Di India, Bila Nak Sampai Malaysia?

TERKINI

2/9/20252 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Austria, KTM akhirnya melancarkan model generasi terbaharu KTM 250 Adventure (2025) baru-baru ini dan seperti dijangka, India menjadi destinasi debut model berkenaan di peringkat global.

Bukan satu rahsia, India menjadi negara pertama memperoleh model berkenaan kerana KTM 250 Adventure (2025) sememangnya dibangunkan di negara itu.

Sebagai model generasi baharu, pelbagai perubahan dijalankan terhadap KTM 250 Adventure (2025) dan mungkin paling menarik adalah membabitkan rekaan.

Tidak seperti model-model bawah 390 cc daripada segmen 'Naked', perubahan paling ketara membabitkan rekaan adalah lampu utamanya yang kini mirip model-model aras tinggi jenama itu yang bersegi dan mungkin sedikit aneh.

Dan apa yang boleh dijangka, ia turut tampil dengan lampu utama jenis projektor LED.

Di bahagian trenkuasa, KTM 250 Adventure (2025) dijana enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan lac 'Slipper'.

Kuasa yang dihamburkan adalah 30.5 Hp pada 9,250 rpm dan tork 25 Nm pada 7,250 rpm.

Seperti model-model terbaharu KTM yang lain, KTM 250 Adventure (2025) yang menggunakan kerangka jenis 'steel trellis' turut menggunakan sistem moden 'Ride-by-wire'.

Peningkatan lain termasuklah panel meter jenis TFT berwarna 5 Inci dengan sambungan ke telefon pintar dan memiliki ciri navigasi dan sistem 'Quickshifter' (atas/bawah) yang datang secara standard.

Sistem suspensi seperti kebiasaan membabitkan model KTM dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang) jenama WP Apex.

Sebagai model 'lasak', ia menawarkan jarak pergerakan 200 mm depan dan 200 mm di belakang sekaligus menawarkan kemampuan 'off-road' yang boleh dikatakan memuaskan.

Selain itu, jarak lega bumi turut dipertingkatkan berbanding model terdahulu menerusi jarak 227 mm dengan ketinggian pelana berada pada angka 825 mm.

Tugas menghentikan roda dijana brek cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper Bybre 2 Piston (depan) dan brek cakera tunggal 240 mm dengan kaliper Bybre 1 Piston (belakang).

Lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, apa yang menariknya ia turut mempunyai ciri nyah aktif.

Info lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 14 liter, berat kering 160 kg dan set roda 100/90-19 (depan) dan 130/80-17 (belakang).

Setakat ini, tiada sebarang petanda bila KTM Malaysia akan membawa masuk KTM 250 Adventure (2025) ke pasaran Malaysia tetapi berdasarkan situasi semasa, ia mungkin tidak lama.