DEBUT Ninja ZX-25R Antara Hujung Ogos, Awal September, 2 Varian, Harga 'Kompetitif' Bawah RM 40k!

TULAR

8/6/20231 min read

ADA perkembangan mengujakan buat yang menantikan motosikal 'viral' 250 cc, 4 Silinder Sebaris popular, Kawasaki/Modenas Ninja ZX25-R di pasaran Malaysia didedahkan, hari ini.

Bersempena karnival 'Green Mania Kawasaki' yang sedang berlangsung, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan mengumumkan tempahan rasmi untuk motosikal berkenaan sudah dibuka.

Dan penantian untuk pelancarannya juga tidak lagi panjang - seawal hujung bulan ini (Ogos) atau awal September depan.

Satu lagi perkembangan menarik yang didedahkan adalah motosikal berkenaan akan datang dengan harga yang kompetitif (bawah RM 40k) dan datang dengan dua varian, Ninja ZX-25R SE dan Ninja ZX-25RR.

Seperti dinyatakan sebelum ini, Roslan berkata Modenas Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia adalah model terbaharu yang ada di pasaran antarabangsa ketika ini.

Malah, ia memenuhi segala ciri dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak Kawasaki Jepun dan dipasang di fasiliti lengkap Kawasaki Malaysia di Gurun.

Mengulas ringkas trenkuasa, Ninja ZX-25R dijana enjin bersesaran 249.8 cc, 4 Silinder Sebaris, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, DOHC, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmmisi 6 kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan ialah setinggi 49 Hp pada 15,500 rpm dengan tork 22.9 Nm pada 14,500 rpm.

Apa yang membuatkan jentera ini menarik ialah ia memiliki banyak 'jajan' seperti motosikal berkuasa tinggi antaranya sistem bantuan tunggangan moden seperti Sistem Kawalan Traksi Kawasaki (KTRC), Kawasaki Quick Shifter, Sistem Klac Antigelincir (Assist & Slipper), Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves dan 3 mod tunggangan.

Spesifikasi menarik lain adalah penggunaan suspensi fork jenis terbalik (USD) 37 mm dari Showa (depan) dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Dan untuk varian RR, ia turut mendapat peningkatan di bahagian suspensi iaitu menggunakan fork Showa Separate Function Fork-Big Piston 37 mm dan monoshock belakang BFRC boleh laras.