DERETAN Kemenangan Marc Marquez Berakhir Di Catalan
Kekalahan Marc Marquez tampak tidak begitu menyakitkan buat pelumba Ducati Lenovo itu apabila kemenangan berjaya diraih oleh adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini Ducati
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/7/20252 min read


MARC Marquez mengharungi kekalahan pertamanya sejak Silverstone pada Mei lalu apabila terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Catalan 2025 di Barcelona sebagai naib juara, hari ini.
Begitupun, kekalahan itu tampak tidak begitu menyakitkan buat pelumba Ducati Lenovo itu apabila kemenangan berjaya diraih oleh adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini Ducati.
Selepas terjatuh ketika sedang mendahului perlumbaan Sprint pada Sabtu, Alex bangkit untuk menebus kekecewaan itu dan menamatkan perlumbaan 24 pusingan dengan masa 40 minit 14.093 saat (s) dan menewaskan Marc (Ducati Lenovo) dengan kelebihan 1.740s.
Apa yang menarik, kemenangan itu bukan saja yang kedua buat Alex pada musim ini, malah menangguhkan peluang Marc untuk mengesahkan kejuaraan dunia sehingga sekurang-kurangnya pusingan di Jepun pada hujung bulan ini.
Sekalipun bermula dari petak utama, Alex begitupun gagal mendapatkan holeshot apabila Marc menyusup ke hadapan di selekoh pertama dan kedua.
Tetapi ia tidak mengakibatkan Alex panik dan menggunakan slipstream untuk memintas Marc di pusingan keempat dan mula mengawal perlumbaan meskipun diasak hebat oleh pelumba Ducati Lenovo itu serta duo KTM, Pedro Acosta dan Enea Bastianini.
Tekanan berterusan memuncak sehingga pusingan ke-17 yang menyaksikan jurang antara Alex dan Marc hanya sekitar 0.3 saat.
Begitupun di sebalik tekanan berterusan Marc ke atas Alex, adiknya itu tampak tidak terkesan malah memaksa juara dunia lapan kali itu melakukan kesilapan pada selekoh ke-10 pusingan ke-20 sehingga membuka jurang sehingga 0.8 saat.
Dan jurang itu terus melebar sehingga ke garisan penamat apabila Marc seperti akur dia tidak mampu mengalahkan Alex.
Bastianini dari pasukan Tech3 KTM melengkapkan kedudukan podium, ketinggalan 5.562 saat di belakang Alex. Ia menjadi podium pertama pelumba kelahiran Itali itu.
Pelumba pasukan 'kilang', Red Bull KTM, Acosta yang menggunakan tayar belakang jenis soft menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 selepas mengalami kemerosotan prestasi di penghujung perlumbaan.
Pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 diikuti pelumba rookie Trackhouse, Ai Ogura yang menjadi pelumba Aprilia terbaik dengan rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia bangkit dari permulaan di petak ke-21 untuk menamatkan di tempat ketujuh.
Luca Marini muncul pelumba terbaik Honda selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 diikuti Miguel Oliveira (Pramac Yamaha) dengan Jorge Martin (Aprilia) melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Catalan 2025
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), 40m 14.093s
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), +1.740s
Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +5.562s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +13.373s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +14.409s
Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +15.055s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +16.048s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +16.372s
Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +16.937s
Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP25), +18.492s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +19.489s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +20.159s
Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +22.792s
Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +24.351s
Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +24.592s
Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +37.393s
Aleix Espargaro (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +43.202s
Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), DNF
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), DNF
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), DNF
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), DNF
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), DNF
