DIDI Group Buka Tempahan Triumph Tiger 800 (2025), Asas RM 63.9k!

TERKINI

2/24/20251 min read

TRIUMPH Motorcycle Malaysia mengumumkan kehadiran salah satu model terbaharu jenama itu, Triumph Tiger Sport 800 (2025) untuk pasaran tempatan yang datang dengan harga jualan RM 63,900.

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran.

Apa yang menarik, Didi Group selaku pengedar eksklusif jenama motosikal British itu turut menghadirkan promosi menarik dengan 30 pelanggan pertama akan

menerima pek touring Triumph bernilai RM 11,000.

Menerusi pakej promosi itu, pelanggan yang bertuah itu akan menerima pannier dengan beg dalaman, 'top box' untuk dua helmet, rak bagasi, kit pemasangan 'top box', pad sandaran 'top box' dan kit 'stand' tengah.

Sekalipun Triumph Tiger Sport 800 tampil dengan rekaan cukup mirip Triumph Tiger Sport 660, ia begitupun mempunyai pelbagai penambah baikkan dan kemas kini yang menarik.

Bermula di bahagian trenkuasa, ia kini dijana enjin baharu bersesaran 798 cc, 3 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac Assist & Slipper.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 113.4 Hp pada 10,750 rpm dan tork 84 Nm pada 8,500 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbali (USD) Showa 41 mm boleh laras (depan) dan penyerap hentak tunggal Showa (Belakang).

Tugas membrek dijana cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper radial 4 Piston (depan) manakala brek belakang dijana cakera tunggal bersaiz 255 mm dengan kaliper 1 Piston.

Di bahagian elektronik, Tiger Sport 800 yang menggunakan 6-axis IMU ini hadir dengan pakej menarik dengan tiga mod tunggangan (Sport, Road dan Rain) dan mudah diakses dengan butang khas.

Ciri-ciri menarik dan canggih lain termasuklah seperti Cornering ABS, Kawalan Cengkaman, sistem 'Quickshifter' dan mungkin paling mengujakan, siste, 'Cruise control' dan datang secara standard.

Maklumat lain adalah seperti:

  • Kapasiti tangki bahan api 18.6 liter

  • Panjang 2073 mm

  • lebar 828mm

  • tinggi 1386 mm

  • ketinggian tempat duduk – 835 mm

  • Jarak antara roda 42 mm

  • Berat 214 kg

Menurut Triumph Motorcycle Malaysia, Triumph Tiger Sport 800 (2025) akan mula tiba di cawangan pengedar rasminya di seluruh negara pada April ini dengan empat pilihan warna tersedia iaitu Cosmic Yellow, Caspian Blue/Phantom Black, Graphite/Sapphire Black dan Sapphire Black.