DIDI Group Umum Kehadiran Vespa GTS 300 Classic (2025), 50 Pembeli Pertama Dapat Harga Istimewa!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/18/20251 min read


SYARIKAT pengedar rasmi dan eksklusif jenama Vespa di Malaysia, Didi Group mengumumkan kehadiran penawaran terbaharu jenama Itali itu di pasaran tempatan, Vespa GTS 300 Classic (2025).
Secara keseluruhan, tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Beige Sabbia, Black Vulcano dan Green Relax.
Dan sebagai cara untuk meraikan para peminatnya, Vespa Malaysia turut mengumumkan promosi khas di mana 50 pemilik terawal Vespa GTS 300 Classic (2025) akan memperoleh harga pengenalan RM 29,900 (asas).
Selepas kempen yang ditawarkan dalam tempoh terhad itu berakhir, harganya akan kembali kepada yang disyorkan iaitu RM 31,900 (asas).
Seperti diketahui, Vespa GTS 300 Classic adalah antara model ikonik jenama itu yang tampil dengan rekaan ikonik Vespa yang digabungkan dengan gaya moden serta didakwa tidak ditelan zaman.
Di bahagian trenkuasa, Vespa GTS 300 Classic dipadankan dengan enjin bersesaran bersesaran 278 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi Automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 23.8 Hp @ 8,250 rpm dengan tork 26 Nm @ 5.250 rpm.
Menurut Vespa, beberapa ciri Vespa GTS 300 Classic (2025) turut dipertingkatkan antaranya pelana yang lebih selesa khususnya buat penggemar aktiviti jelajah.
Sistem suspensi menggunakan sistem 'Single-arm' dan penyerap hentak tunggal (depan) dan penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan preload (belakang).
Sebagai model yang diposisikan dalam segmen gaya hidup, Vespa GTS 300 adalah antara model yang paling laris di pasaran dengan info lain adalah seperti:
Set roda 120/70-12 (depan), 130/70-12 (belakang)
Brek cakera (depan,belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran
Tinggi pelana 790 mm
Kapasiti tangki bahan api 8.5 liter
Sistem Tanpa Kunci
Lampu LED penuh
Kepada yang berminat, Vespa GTS 300 Classic (2025) akan mula tiba di cawangan pengedar Vespa Malaysia seluruh negara bermula pada minggu terakhir bulan Mac ini.












