DIKAITKAN Dengan Honda, Ini Jawapan Bos Tech3 KTM!

Di sebalik khabar angin mengaitkannya dengan Honda, bos Tech3 Herve Poncharal menegaskan 'keutamaan' adalah untuk terus bersama KTM pada 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20251 min read

Tech3 KTM
Tech3 KTM

PASUKAN satelit KTM di MotoGP, Tech3 menegaskan mereka akan terus kekal bersama pengeluar Austria itu pada musim 2026 di sebalik khabar angin yang menyatakan mereka akan menyertai Honda.

Sejak menyertai KTM pada 2019, Tech3 menandatangani kontrak baharu pada 2022 yang menyaksikan mereka akan kekal menggunakan jentera KTM RC16 sehingga musim 2026.

Tetapi sejak masalah kewangan meruncing melanda KTM pada tahun lalu, timbul spekulasi yang mengaitkan Tech3 dengan Honda seawal tahun depan tetapi ia dinafikan bos pasukan itu, Herve Poncharal.

"Saya mempunyai kontrak selama lima tahun dengan KTM, dari tahun 2022 hingga 2026, jadi saya perlu tidak bersetuju dengan sesiapapun yang menulis yang Tech3 sudah pun menandatangani perjanjian bersama Honda pada 2026," kata Poncharal kepada GPOne.

"Saya mengharungi perbincangan panjang dengan CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta di Mugello. Kami mencapai sepakat yang kami perlu menunggu dan melihat apa rancangan terakhir KTM bagi musim 2026 dan seterusnya.

"Situasi saya adalah jelas. Jika kami mempunyai peluang untuk meneruskan dengan KTM pada 2026, jika mereka mengemukakan tawaran yang boleh diterima, keutamaan kami adalah untuk terus bekerjasama dengan KTM tahun depan.

"Ia juga adalah pandangan Carmelo. Keutamaan Tech3 adalah untuk kekal bekerjasama dengan KTM pada 2026. Kemudian kita akan lihat sama ada KTM juga akan menunjukkan komitmen untuk lima tahun dari 2027 hingga 2031."

Pasukan Tech3 KTM ketika ini dipacu dua pelumba berpengalaman, Maverick Vinales dan Enea Bastianini tetapi keputusan yang diperoleh setakat ini tidak seperti diharapkan.