DIKAITKAN Dengan Pedro Acosta, Ini Jawapan VR46 Ducati!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/25/20251 min read

PASUKAN MotoGP milik legenda Itali, Valentino Rossi memberikan respon terhadap spekulasi yang mengaitkannya dengan pelumba bintang KTM, Pedro Acosta.

Menurut bos pasukan itu, Pablo Nieto, adalah terlalu awal untuk membincangkan senarai pelumba bagi pasukan itu pada musim 2026.

Seperti diketahui, VR46 Ducati menjadi salah satu daripada empat pasukan yang memiliki kekosongan pada musim 2026 apabila kontrak pelumbanya, Franco Morbidelli bersama pasukan itu dijadual berakhir pada penghujung musim ini.

Tetapi Morbidelli adalah pelumba yang memiliki hubungan rapat dengan VR46 dan menjadi alumni pertama akademi VR46 yang berjaya berlumba di MotoGP.

Selain itu, pelumba Itali itu ketika ini berada di kedudukan ke-4 dalam carta kedudukan pelumba di belakang dua pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez selain Alex Marquez.

Acosta dalam pada itu sekali pun tidak begitu gembira dengan prestasi KTM ketika ini menegaskan masih memiliki perjanjian dengan pengeluar gergasi Austria itu.

Selain VR46 yang memperoleh jentera 'kilang' Ducati, Acosta turut dikaitkan dengan Honda.

"Ketika ini ia masih awal," kata Nieto memetik laporan Crash.net. "Ini adalah jelas. Dan kami mempunyai pelumba-pelumba kami, yang kami perlu fokuskan, kerana pada akhirnya jika kami fokus kepada mereka kami tahu yang mereka akan menghasilkan keputusan yang hebat.

"Dan apa yang turut jelas adalah jika kamu melihat sekitar paddock dan bertanya mengenai Pedro Acosta, kesemua pasukan meminati Pedro Acosta.

"Ini jelas. Ya, Pedro Acosta sesuatu yang menarik. Tetapi pergi dan tanya pasukan-pasukan lain dan mereka akan berkata ya (turut berminat)."

Pasukan VR46 buat pertama kali membuka 'pintu' kepada pelumba bukan daripada akademi pasukan itu pada tahun lalu apabila mendapatkan khidmat pelumba Itali, Fabio Di Giannantonio.

Dan Nieto berkata pasukan itu perlu terus 'terbuka' terhadap senarai pelumbanya.