DIKESAN Jalani Ujian, Yamaha Motor Malaysia Bakal Lancar Yamaha XSR155?
TERKINI
3/12/20241 min read
YAMAHA membuat debut motosikal bergaya klasik dan retronya, Yamaha XSR155 pada tahun 2019 lalu dan sehingga ini, ia kekal menjadi model yang diharapkan untuk menerjah pasaran Malaysia.
Diposisikan dalam kategori 'Sport heritage' oleh Yamaha, antara 'kakuatan' Yamaha XSR155 pastinya rekaannya yang menarik.
Dan satu perkembangan menarik diperoleh terutama kepada mereka yang mengharapkan ketibaan model berkenaan di Malaysia apabila ia dikesan menjalani ujian di sekitar Sg Buloh yang juga lokasi ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Tetapi sedikit mengecewakan, tiada bukti bergambar dapat dikongsikan termasuk mengenai perinciannya sekalipun dari sudut penampilan, ia sememangnya Yamaha XSR155.
Tidak seperti Malaysia, Yamaha sememangnya memiliki keyakinan tinggi terhadap Yamaha XSR155 dan ia boleh dikatakan cukup popular di negara jiran Thailand, Indonesia dan Filipina.
Dari sudut rekaan, Yamaha XSR155 jelas mengambil inspirasi daripada dua 'abang besarnya' yang lebih berkuasa iaitu Yamaha XSR 700 dan XSR900.
Begitupun seperti namanya, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, SOHC, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dengan teknologi VVA.
Ia digandingkan dengan sistem transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan ciri Assist & Slipper.
Kuasa yang dijana adalah 19 Hp pada 10,000 rpm dan tork 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Dan seperti yang boleh dijangka, ia adalah trenkuasa yang sama turut digunakan oleh Yamaha pada Y16ZR dan MT-15 yang dijual di pasaran Malaysia ketika ini namun dengan talaan berbeza.
Menggunakan kerangka jenis Deltabox, sistem suspensi Yamaha XSR155 menggunakan fork terbalik (USD) di depan dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal depan dan belakang bersama saiz roda 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang).
Sebagai perbandingan, Yamaha XSR155 di pasaran Indonesia dijual pada harga Rp 38,075,000 (RM 11,489) dan di Thailand, harga jualannya adalah 96,600 baht (RM 12,741).
Jadi adakah peminat Yamaha di Malaysia akan memperoleh model terbaharu tahun ini? Sama-sama kita nantikan.