DISINGKIR KTM, Augusto Fernandez Kini Rasmi Pelumba Ujian Yamaha 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/18/20241 min read


BEKAS pelumba pasukan satelit KTM, GasGas Tech3 pada musim 2024, Augusto Fernandez boleh mula 'tidur lena' apabila sah menyertai Yamaha sebagai pelumba ujian MotoGP pengeluar Jepun itu bermula musim depan.
Juara dunia Moto2 2022, Fernandez menyertai KTM pada 2023 dan hanya sempat menghabiskan tempoh selama dua tahun sebagai pelumba sepenuh masa di MotoGP sebelum digugurkan pengeluar Austria itu pada penghujung musim ini.
Fernandez akan menyertai pelumba British, Cal Crutchlow sebagai pelumba ujian rasmi Yamaha di MotoGP.
"Saya amat gembira dan sungguh teruja untuk menyertai Yamaha sebagai pelumba ujian pada 2025," kata Fernandez yang keputusan terbaiknya di MotoGP adalah tempat keempat di Grand Prix Perancis tahun lalu.
"Ia satu penghormatan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Yamaha, dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menjadikan perkara ini kenyataan.
"Dalam projek baharu yang menakjubkan ini, sata akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu Yamaha berada di posisi di mana mereka sepatutnya berada."
Selepas mengharungi kempen yang boleh dianggap baik pada 2023, penggunaan kerangka gentian karbon oleh KTM pada musim ini menyaksikan Fernandez bergelut untuk menampilkan prestasi terbaiknya.
Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis berkata Fernandez akan menjadi pelumba gantian utama kepada Yamaha jika salah seorang daripada empat pelumba sepenuh masa mereka terlepas untuk berlumba susulan kecederaan.
Yamaha pada musim 2025 diberikan enam tiket untuk beraksi secara 'Wildcard'.
"Pembangunan jentera adalah keutamaan Yamaha dengan kami mencabar diri untuk kembali ke landasan kemenangan secepat yang mungkin," kata Jarvis. "Kami percaya yang Augusto adalah orang yang sesuai untuk kedua-duanya Yamaha pasukan ujian Factory Racing MotoGP dan jentera YZR-M1.
"Augusto masih muda dan laju, dan dia boleh mengambil ilmu bersana Cal dan mempelajari rahsia yang diperlukan daripada pelumba ujian sepenuh masa yamaha."
Augusto sudah pun memulakan kerja bersama Yamaha di luar litar dan penyertaan pertamanya bersama jentera Yamaha YZR-M1 akan bermula di ujian 'Shakedown' MotoGP di Sepang pada penghujung Januari tahun depan.
