DIUMUM Pada Harga RM 148,888, Ini Sebab X-Wedge Vanguard VT2000 Dapat Label Premium!
Tidak seperti motosikal konvensional yang memiliki dua roda, X-Wedge Vanguard VT2000 adalah motosikal roda tiga (trike) unik dan antaran taruhan utamanya adalah penawaran gaya hidup eksklusif
PELANCARAN
2/15/20262 min read


JENAMA motosikal kruiser mewah, X-Wedge kini rasmi menembusi pasaran Malaysia, sekali gus mencabar dominasi jenama Barat dalam segmen berkenaan dan antara model yang diperkenalkan adalah X-Wedge Vanguard VT2000 (2026).
Daripada 5 model yang diperkenalkan X-Wedge Malaysia, X-Wedge Vanguard VT2000 adalah model paling mahal dan dijual pada harga rasmi RM 148,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Tidak seperti motosikal konvensional yang memiliki dua roda, X-Wedge Vanguard VT2000 adalah motosikal roda tiga (trike).
Dan ia bukan saja mencuri tumpuan bukan sahaja kerana reka bentuknya yang gah, malah sarat dengan pakej teknologi dan kejuruteraan yang menjawab persoalan mengapa ia diletakkan pada tanda harga premium.
Keselesaan dan Gaya Hidup Premium
Taruhan utama X-Wedge Vanguard VT2000 adalah penawaran gaya hidup eksklusif. Menyedari saiz fizikalnya yang besar, pengeluar melengkapkan jentera ini dengan gear mengundur elektrik, satu ciri kritikal yang memudahkan pengendalian jentera seberat 490 kilogram ini di ruang parkir.
Bagi perjalanan jarak jauh, aspek hiburan tidak diabaikan. Ia dilengkapi sistem audio JBL dengan empat pembesar suara, radio dan sambungan Bluetooth, menjadikan kembara lebih menghiburkan.
Keselesaan penunggang dan pembonceng turut dioptimumkan menerusi pemanas tempat duduk hadapan dan belakang, sesuai untuk perjalanan dalam pelbagai cuaca.
Lebih menarik, jentera ini mementingkan aspek praktikaliti dengan kapasiti simpanan luar biasa. Ia merangkumi kotak atas (top box), kotak belakang, dua kotak sisi, ruang simpanan hadapan serta rak bagasi, membolehkan penunggang membawa muatan maksimum tanpa masalah.
Nadi Kuasa 2,000 cc
Padanan harga itu turut diterjemahkan melalui spesifikasi mekanikalnya. X-Wedge Vanguard VT2000 dipacu oleh enjin gergasi 1,976 cc V-Twin 4-lejang dengan sistem penyejukan udara.
Nadi penggerak dengan konfigurasi OHV dan suntikan bahan api elektronik (EFI) ini mampu menghamburkan kuasa 76 kW pada 5,000 rpm. Namun, kekuatan sebenarnya terletak pada tork puncak setinggi 158 Nm seawal 3,000 rpm, menjamin pecutan lancar walaupun membawa muatan berat.
Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi 6-kelajuan dengan pacuan akhir jenis aci (shaft drive) yang terkenal dengan ketahanan dan penyelenggaraan minimum.
Sistem klac pula menggunakan jenis hidraulik multi-cakera basah dengan fungsi gelincir (assist & slipper clutch) bagi kawalan lebih lembut.
Teknologi Keselamatan Termaju, Canggih
Tidak berkompromi soal keselamatan, X-Wedge Vanguard VT2000 dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS) tiga saluran dan Sistem Brek Gabungan (CBS).
Cengkaman tayar diuruskan oleh Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh laras, manakala kestabilan stereng dibantu oleh peredam stereng (steering damper) 15 tahap.
Untuk tunggangan lebuh raya yang santai, penunggang boleh mengaktifkan Sistem Kawalan Jelajah (CCS).
Set roda: 130/70-18 (depan), 205/65-25 (belakang)
Aspek moden jentera ini disempurnakan dengan paparan spidometer hibrid yang menggabungkan meter analog dan skrin sentuh TFT 7-inci. Ia turut menyokong navigasi melalui skrin unjuran khusus serta rakaman perjalanan menerusi kamera pemuka (dashcam) hadapan dan belakang yang didatangkan sebagai standard.
Untuk pasaran Malaysia, X-Wedge Vanguard VT2000 hadir dengan empat pilihan warna eksklusif iaitu:
Moonlit White, Phantom Black, Starlight Silver dan Sonic Black







