DOMINASI Aprilia Tak Mengejutkan - Marc Marquez
Selepas tiga pusingan, pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi cemerlang memenangi kesemua tiga perlumbaan Grand Prix (GP) manakala rakan sepasukannya, Jorge Martin turut melakar kemenangan perlumbaan Sprint serta meraih dua podium dan menduduki tangga pertama dan kedua carta kejuaraan dunia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/14/20261 min read


MARC Marquez mengakui dia tidak terkejut dengan penguasaan yang ditampilkan Aprilia pada awal kempen Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim 2026.
Selepas bertahun-tahun didominasi jentera Ducati, tiga pusingan awal pada musim ini menyaksikan peralihan kuasa mula memihak kepada pengeluar dari Noale itu.
Pelumbanya, Marco Bezzecchi cemerlang memenangi kesemua tiga perlumbaan Grand Prix (GP) setakat ini, manakala rakan sepasukan, Jorge Martin turut melakar kemenangan perlumbaan Sprint serta meraih dua podium untuk kedua-dua pelumbanya menduduki tangga pertama dan kedua kejuaraan dunia.
Marquez yang kini berada di kedudukan kelima keseluruhan dan masih memburu podium GP pertamanya musim ini berkata, kelajuan jentera Aprilia sudah dapat dihidu sejak awal lagi.
"Kejutan terbesar? Bagi saya, ia bukan satu kejutan. Sejak penghujung musim lalu dan ketika ujian pra-musim, kami sudah sedar bahawa Marco (Bezzecchi) dan Aprilia sangat pantas serta sentiasa mempamerkan peningkatan," kata Marquez memetik laporan Crash.
Pandangan 'tanpa kejutan' itu turut dipersetujui pelumba Honda HRC, Luca Marini yang menyifatkan prestasi semasa pasukan adalah selari dengan keputusan ujian pra-musim lalu dengan Aprilia menunjukkan peningkatan paling ketara.

