DOMINASI Marc Marquez Bukan Kejutan - Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/22/20251 min read

JORGE Martin mengakui dominasi yang ditampilkan pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez dalam kempen MotoGP musim ini bukan sesuatu yang tidak boleh dijangka.

Penyandang juara dunia MotoGP itu ketika ini tersisih daripada kejuaraan susulan kecederaan yang dihadapinya ketika ujian pra-musim di Sepang diikuti kecederaan sewaktu latihan di Sepanyol.

Menjulang gelaran dunia MotoGP bersama Ducati, Martin ketika ini berlumba bersama pakej berbeza di Aprilia mengikuti keputusan mengejutkan yang dibuat pada pertengahan musim lalu.

Dan sekalipun menyertai pasukan yang tidak pernah menjulang gelaran itu sebelum ini, tetapi bagi Martin, tiada cabaran yang lebih besar di MotoGP selain daripada menjulang gelaran sama bersama Aprilia.

"Kemenangan Marc bukan sesuatu yang sesiapapun tidak boleh jangka," kata Martin memetik laporan Gazzetta dello Sport.

Selepas dua pusingan MotoGP musim ini di Thailand dan Argentina berlangsung, juara dunia lapan kali, Marquez menyapu bersih kemenangan dalam semua perlumbaan ditawarkan setakat ini.

Justeru, Martin sedar yang cabarannya untuk mengekalkan kejuaraan yang dimilikinya sebagai tugas yang besar.

"Kamu perlu mengadaptasi dan belajar. Saya fokus kepada apa yang saya perlu lakukan: menjuarai Kejuaraan Dunia. Saya tidak mempunyai dendam kepada sesiapapun," kata Martin.

"Pada akhirnya, saya menggemari cabaran, dan tiada cabaran lebih besar berbanding cuba untuk menang sekali lagi dengan jentera yang tidak pernah menjuarai kejuaraan. Jadi saya gembira."

Martin selepas ini sah tidak akan beraksi di pusingan tiga di COTA namun berpotensi untuk kembali ketika pusingan 4 di Grand Prix Qatar yang dijadual pada pertengahan April.

"Berbanding pelumba lain, saya sekurang-kurangnya ketinggalan 5,000 km di belakang," kata Martin. "Jadi saya perlu kembali secepat yang mungkin dan membiasakan diri dengan jentera.

"Segala yang berlaku mempunyai alasan. Ini akan membuatkan kami bangkit dengan lebih kuat berbanding sebelum ini. Dengan Aprilia, saya akan kembali dengan lebih kuat."