DOMINASI Mutlak Hafizh Syahrin Di Buriram

Jaguh JDT Racing Team, Hafizh Syahrin tampak berada di kelas tersendiri apabila menjuarai Perlumbaan 2 kelas elit ASB1000 pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Thailand

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/10/20261 min read

PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah tampak berada di kelas tersendiri apabila menampilkan 'dominasi mutlak' di Buriam dengan menjuarai Perlumbaan 2 kelas elit ASB1000 pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Thailand, hari ini.

Kejayaan itu melengkapkan hujung minggu yang gemilang buat bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK itu yang turut memenangi Perlumbaan 1 semalam, biarpun terpaksa mengharungi cabaran menjalani hukuman penalti 'long lap'.

Lebih menarik, pelumba yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R itu berjaya mengekang asakan sengit daripada barisan pelumba Honda sepanjang perlumbaan.

Bermula dari petak kelima, Hafizh tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan dua pusingan sebelum memimpin perlumbaan.

Dan dia tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu meskipun pada satu ketika dicabar pelumba senegara, Md Zaqhwan Zaidi dari pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia dan melintas garisan penamat dengan catatan 24 minit 04.743 saat (s) dalam perlumbaan 15 pusingan itu.

Pelumba Jepun, Keito Abe dari pasukan SDG HARC-PRO. Honda Philippines ketinggalan lebih 2 saat di belakang Hafizh untuk meraih tempat ke-2 dan pelumba tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat (Honda Racing Thailand) melengkapkan kedudukan podium.

Malang bagi Zaqhwan Zaidi apabila kesilapan yang dilakukannya pada pusingan terakhir menyaksikannya berdepan kemalangan ketika berada di posisi ke-4.

Rakan sepasukan Zaqhwan, Azroy Hakeem Anuar turut berdepan malang apabila turut terjatuh pada pusingan ke-8.