DOMINASI Penuh Nicolo Bulega Di Balaton

Nicolo Bulega terus melakar namanya dalam buku sejarah apabila menyapu bersih ketiga-tiga perlumba yang ditawarkan pada Pusingan 4 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) Hungary 2026, selepas menjuarai Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/3/20261 min read

PELUMBA sensasi Ducati, Nicolo Bulega terus melakar namanya dalam buku sejarah apabila menyapu bersih ketiga-tiga perlumba yang ditawarkan pada Pusingan 4 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) Hungary 2026, selepas menjuarai Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2.

Kejayaan itu melebarkan rekod kemenangan berturut-turut pelumba Aruba.it Racing Ducati itu kepada 16 perlumbaan.

Lebih epik, pelumba Itali itu turut menyamai rekod sepanjang zaman WorldSBK dengan merangkul 25 penamat podium berturut-turut, selain melakar permulaan musim terbaik dalam sejarah kejuaraan menerusi 12 kemenangan bersih daripada 12 perlumbaan setakat ini.

Pada aksi Perlumbaan 2, Bulega mempamerkan tunggangan cemerlang untuk meninggalkan rakan sepasukannya, Iker Lecuona di tempat kedua dengan perbezaan masa 2.5 saat. Yari Montella berjaya menahan asakan lewat Lorenzo Baldassarri untuk melengkapkan penguasaan jentera Ducati di podium.

Garrett Gerloff dari Kawasaki Racing Team menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus muncul pelumba terbaik yang tidak menggunakan jentera Ducati.

Dalam pada itu, pelumba pasukan Honda HRC, Somkiat Chantra turut berjaya menamatkan kemarau pungutan mata dengan menduduki tempat ke-15.

Terdahulu, drama tercetus pada aksi Superpole apabila perlumbaan terpaksa dihentikan dengan kibaran bendera merah pada pusingan pertama susulan kemalangan.

Insiden bermula apabila Andrea Locatelli cuba memintas Miguel Oliveira dari arah dalam selekoh, namun tersentuh jentera Sam Lowes. Kesilapan itu menyebabkan Locatelli terjatuh dan merempuh Oliveira sehingga terbabas keluar litar.

Akibat rempuhan itu, Oliveira terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami gegaran otak serta kecederaan bahu kiri. Locatelli pula dikenakan dua penalti 'long lap' dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.

Walaupun perlumbaan dimulakan semula dan dipendekkan kepada lapan pusingan, ia sedikit pun tidak menjejaskan rentak Bulega yang terus mendominasi saingan untuk menewaskan Lecuona dengan kelebihan 0.894 saat, manakala Baldassarri melengkapkan kedudukan podium.