PEMEGANG hak penganjuran MotoGP, Dorna mengesahkan pusingan penutup tirai MotoGP musim 2024 yang dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol pada 15 hingga 17 November ini dibatalkan.
Perkembangan itu diumumkan oleh Dorna dalam satu kenyataan rasmi dengan keputusan diumumkan selepas mesyuarat di GP Malaysia, hari ini.
Seperti diketahui, Valencia berdepan bencana banjir teruk pada minggu ini yang bukan saja mengakibatkan kerosakan harta benda namun turut membabitkan kehilangan nyawa.
Dan antara fasiliti berdepan kemusnahan besar adalah Litar Ricardo Tormo.
Dorna kini perlu mencari venue gantian kepada Valencia tetapi ketika Malaysia yang pada awalnya dikhabarnya menjadi salah satu calon pengganti, tetapi difahamkan tidak berada dalam senarai Dorna.
Badan induk itu berkata selepas pertimbangan dengan teliti impak positif perlumbaan MotoGP di Valencia, kejuaraan dan pihak berkuasa tempatan memutuskan membatalkan GP Valencia 2024.
MotoGP menegaskan mereka akan meletakkan usaha kolektif untuk menyokong dengan dana bantuan sudah pun tersedia untuk memastikan impak positif kami dapat berhubung dengan kawasan terjejas.
"Kami akan cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk dan komuniti yang menjadi sebahagian daripada kami sejak sekian lama."
GP Valencia secara tradisinya sejak bertahun-tahun menjadi destinasi pusingan penutup tirai MotoGP yang kebiasaannya menjadi penentu kepada kejuaraan dunia MotoGP.