DORNA Mahu Pelumba Malaysia Di Moto3 - ZK

Perkembangan menarik membabitkan pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli mengenai peluangnya untuk beraksi secara semusim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 daripada bos ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20251 min read

"Dorna sendiri mahu pelumba Malaysia berlumba di Moto3.” Itu pendedahan menarik oleh Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin yang kini giat mempersiapkan pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli untuk beraksi secara wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia 2025, hujung bulan ini.

Menurut Zulfahmi, sekalipun masih belum menemui kata putus, rundingan untuk meletakkan Hakim Danish secara semusim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim depan berjalan lancar dan positif.

Perkara itu dipacu oleh prestasi cemerlang Hakim Danish yang menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di tempat ketiga keseluruhan pada musim ini.

“Memang dalam perancangan saya untuk letakkan Hakim Danish sebagai pelumba penuh Moto3 tahun depan. Ini langkah jangka pendek, impian jangka panjang kita adalah untuk dia beraksi di MotoGP,” katanya Zulfahmi memetik laporan HM.

Dan lebih menarik, menerusi sokongan daripada Dorna yang juga pemegang hak komersial dan penganjur rasmi MotoGP yang mahu melihat wakil Malaysia di grid Moto3, ia menjadi pemangkin utama dalam rundingan berkenaan.

“Rundingan saya kali ini sedikit berbeza kerana prestasi Hakim Danish di RBMRC dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP. Tambahan pula, Dorna sendiri mahukan pelumba Malaysia kerana terlalu ramai pelumba Sepanyol dalam kelas itu,” dedahnya.

Turut menjelaskan bahawa yuran penyertaan ke Kejuaraan Motosikal Dunia seperti diketahui tinggi, tetapi prestasi Hakim Danish membantu mengimbangi kos yang perlu ditanggung pasukan.

“Saya harap semuanya berjalan lancar dan Hakim dapat berlumba dalam kelas Moto3 tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam usaha memastikan Hakim Danish mampu bersaing di pentas dunia, Zulfahmi hanya berbincang dengan pasukan terbaik dalam kelas Moto3 bagi menjamin peluang dan prestasi yang kompetitif.

“Kita tahu pelumba Asia jarang cemerlang pada tahun pertama di Kejuaraan Dunia. Tekanan dan budaya perlumbaan sangat berbeza. Jadi kita cuba elak perkara itu dan pastikan Hakim bersedia,” katanya.

Di GP Malaysia nanti, Hakim Danish akan beraksi bersama pasukan MT Helmets MSI yang juga pasukan kedua terbaik di grid Moto3 ketika ini.

GP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.