DORNA Rancang Anjur Pelancaran MotoGP 2025 Istimewa Di Thailand

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20241 min read

PEMEGANG hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports merancang untuk mengadakan majlis pelancaran istimewa di Bangkok, Thailand yang membabitkan kesemua pasukan bertanding menjelang pusingan pembukaan musim 2025.

Seperti diketahui, Grand Prix (GP) Thailand menjadi gelanggang pembuka tirai bagi musim 2025 menggantikan Qatar.

Memetik laporan Motosports, Dorna dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan pasukan-pasukan bertanding mengenai perkara itu di Aragon, semalam yang turut dihadiri wakil daripada Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA).

Secara kebiasaannya, pasukan-pasukan pengeluar dan persendirian menganjurkan majlis pelancaran masing-masing bagi menghadapi musim baharu yang termasuk sesi pengenalan liveri terbaharu pasukan.

Justeru, Dorna dikatakan sedang bekerja keras untuk menganjurkan acara berkenaan di satu lokasi di ibu negara Thailand, Bangkok.

Dorna pada tahun lalu dikatakan pernah mengutarakan perkara yang sama di Maghribi namun ia tidak menjadi kenyataan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak namun ia dijangka akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari dan jika ia menjadi kenyataan, tarikh majlis berkenaan dijangka berlaku adalah sekitar awal Februari depan.

Secara tradisinya, ujian rasmi pra-musim termasuk ujian 'Shakedown' yang membabitkan pelumba ujian dan 'rookie' berlangsung di Malaysia dengan Thailand dijangka akan diletakkan dalam kalendar ujian berkenaan bagi ujian pra-musim terakhir.

Dan majlis berkenaan dikatakan akan berlaku di antara ujian 'Shakedown' dan ujian pra-musim rasmi pertama di Sepang dan ujian pra-musim terakhir di Thailand sebelum kempen 2025 membuka tirainya dijangka pada awal Mac.

Sementara itu, jadual sementara MotoGP 2025 - yang menyaksikan kehadiran semula beberapa gelanggang antaranya GP India dan Brno dijangka akan diumumkan oleh Dorna dalam tempoh beberapa hari lagi.