DORNA Singkir CryptoData RNF Dari Grid MotoGP 2024 'Kontroversi Berulang Rosakkan Imej MotoGP'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/28/20231 min read

TIADA pasukan CryptoDATA RNF di grid MotoGP 2024. Itu keputusan dramatik yang diambil Jawatankuasa Pemilihan MotoGP terhadap pasukan yang dikemudi prinsipal dari Malaysia, Datuk Razlan Razali.

Begitupun, pengumuman pengelola perlumbaan elit dua roda itu diumumkan selepas Razlan sah menarik diri daripada pengurusan pasukan itu, beberapa hari lalu.

Jawatankuasa Pemilihan MotoGP itu terdiri daripada ahli FIM, IRTA dan promoter, Dorna Sports.

Menurut MotoGP, keputusan itu diambil berikutan: "Pelanggaran berulang terhadap Perjanjian Penyertaan yang memberi kesan kepada imej MotoGP membawa kepada keputusan ini."

Permohonan-permohonan ketika ini sedang dinilai, "untuk pasukan Bebas 'Independent', menggunakan jentera Aprilia, untuk menyertai grid dalam kelas MotoGP bagi 2024."

Seperti diketahui, pasukan CryptoData RNF ditubuhkan daripada 'serpihan' pasukan Petronas SRT.

Ia dikenali sebagai CryptoData RNF susulan penjualan saham (60 peratus) kepada firma Romania, CryptoData oleh Razlan yang masih memegang pegangan saham 40 peratus susulan ketiadaan penaja utama.

Tanpa penaja utama, pasukan itu didakwa berdepan masalah kewangan yang meruncing hingga didakwa terpaksa menangguhkan pembayaran kepada pembekalnya.

Menurut laporan media antarabangsa, antara calon berpotensi untuk mengambil alih kedudukan itu adalah firma dari Amerika Syarikat yang turut memiliki pasukan di NASCAR.

CrytoDATA setakat ini belum mengeluarkan kenyataan terbaharu sekalipun mengumumkan kerjasama dengan beberapa syarikat sejak pengunduran Razlan.

Sebagai info, kedua-dua pelumba pasukan itu - Miguel Oliveira dan Raul Fernandez, jentera dan sebahagian staf pasukan memiliki kontrak terus dengan Aprilia dan bukannya CryptoData RNF.