'DRAMA' Helmet Di Buriram: Tiga Bintang MotoGP Terpaksa Guna Jenama Helmet Berbeza!

Terkesan dan menjadi 'mangsa' daripada situasi berkenaan adalah pelumba dari kelas perdana MotoGP iaitu Pecco Bagnaia, Enaa Bastianini dan Diogo Moreira yang menggunakan helmet jenama Suomy dan KYT

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/3/20262 min read

KEMPEN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 membuka tirainya di Thailand hujung minggu lalu dan selain aksi mendebarkan di atas litar, ia turut diselubungi 'drama' luar jangkaan membabitkan isu penggunaan topi keledar atau helmet.

Seperti menambah tekanan sedia ada pada pusingan pembukaan musim, turut terkesan dan menjadi 'mangsa' adalah pelumba dari kelas perdana MotoGP iaitu Pecco Bagnaia, Enaa Bastianini dan Diogo Moreira yang menggunakan helmet jenama Suomy dan KYT.

Ironinya, situasi memaksa mereka berdepan situasi janggal apabila perlu memakai helmet jenama berbeza gara-gara masalah kelewatan proses kelulusan homologasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) terhadap helmet mereka.

Kekalutan ini berpunca daripada piawaian homologasi terbaharu FIM yang dikenali sebagai FIMFRHPhe-02. Walaupun pengenalannya sudah diumumkan sejak tiga tahun lalu, pelaksanaannya pada musim ini ternyata memberi pening kepala kepada beberapa pengeluar.

Ketegasan protokol ini menyaksikan jenama-jenama itu gagal menyediakan kelulusan tepat pada masanya untuk sesi latihan pada Jumaat dan Sabtu.

Selain ujian impak cengkerang yang jauh lebih ketat, FIM kini memberi penekanan khusus terhadap keselamatan visor bagi memastikan ia tidak mudah tertanggal ketika kemalangan. Perkara yang lebih merumitkan, kelulusan piawaian ini perlu diperolehi secara berasingan untuk setiap saiz topi keledar.

Insiden logistik paling mendebarkan dan mencuri tumpuan di Buriram melibatkan PT Tara Group, syarikat dari Indonesia yang memiliki jenama KYT (penaja Bastianini dan Moreira) serta Suomy (Bagnaia).

Topi keledar ketiga-tiga pelumba itu dilaporkan hanya melepasi ujian makmal di Aragon pada petang Khamis. Namun, masalah timbul apabila label pengesahan FIM hanya boleh dicetak di ibu pejabat badan induk itu di Mies, Switzerland.

Situasi itu memaksa seorang kakitangan PT Tara bergegas terbang ke Switzerland untuk mengambil label itu pada Jumaat, sebelum meneruskan penerbangan ke Thailand melalui Doha. Menariknya, kakitangan itu sangat bernasib baik kerana penerbangannya ke Bangkok berjaya berlepas hanya dua jam sebelum ruang udara di laluan Timur Tengah ditutup akibat konflik ketegangan di sana.

Hasil 'misi mustahil' kakitangan itu, pengesahan label itu akhirnya tiba di Buriram dan label tersebut segera dijahit di bahagian dalam helmet, membolehkan kesemua pelumba yang terjejas kembali menggunakan jenama tajaan masing-masing bermula dari sesi pemanas badan dan perlumbaan utama pada hari Ahad.

Terdahulu bagi mengelakkan implikasi perundangan dan isu pelanggaran kontrak penajaan, ketiga-tiga pelumba ini terpaksa mengambil langkah drastik menggunakan topi keledar jenama pesaing yang dicat dan direka khas menyerupai corak topi helmet asal mereka bagi mengaburkan mata umum.

Apa yang menarik, keadaan ini memaksa Bastianini menukar dua jenama berbeza dalam satu acara. Pada Jumaat, dia menggunakan topi keledar jenama Arai namun akibat kurang selesa, dia menukarnya kepada jenama Alpinestars pada keesokan harinya.

Bagnaia pula menerima layanan istimewa daripada Alpinestars apabila dua krew perlumbaan jenama Itali itu ditempatkan di garaj Ducati semata-mata untuk memantau maklum balasnya.