DUA Bintang CFMOTO Aspar Ini Jadi Buruan Pasukan MotoGP!
David Alonso dan Dani Holgado yang beraksi di pentas Moto2 bersama CFMoto Aspar dilaporkan sedang 'dipancing' dua pasukan yang beraksi dalam kelas elit itu bagi musim 2027 iaitu Honda dan Gresini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/1/20261 min read


SATU perkembangan menarik diperoleh dari grid MotoGP apabila dua pelumba muda Moto2 pasukan CFMoto Aspar, David Alonso dan Dani Holgado dilaporkan sedang 'dipancing' pasukan yang beraksi dalam kelas elit itu bagi musim 2027.
Laporan media Sepanyol, AS menyebut antara pasukan yang berhasrat mendapatkan kedua-dua pelumba muda itu adalah Honda dan Ducati.
Dan langkah berkenaan dilihat sebahagian pelan pasukan menjelang pengenalan kitaran peraturan baharu MotoGP pada tahun 2027.
Alonso, juara dunia Moto3 2024 dikhabarkan bakal menyertai pasukan pengeluar Honda, di mana dia dijangka bergandingan dengan juara dunia musim 2021, Fabio Quartararo sementara Holgado pula dilaporkan bakal menyertai Gresini Racing yang menggunakan jentera satelit Ducati.
Apapun, perkembangan ini boleh dianggap tamparan hebat buat KTM yang sebelum ini turut mengintai khidmat kedua-dua pelumba tersebut memandangkan mereka kini bernaung di bawah jenama CFMoto yang juga rakan kongsi strategik pengeluar Austria itu.
Kehilangan dua permata muda ini dikatakan memaksa pasukan CFMoto Aspar mencari pengganti baharu dalam kelas Moto2, dengan nama anak didik Marc Marquez, Maximo Quiles kini disebut-sebut bakal mengisi kekosongan berkenaan.

