DUA Kali Rekod Brno Lebur Di Tangan Hakim Danish!
Selepas melakukan kejutan pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) dengan meleburkan rekod lama milik pelumba Itali, Guido Pini (2:05.019s), Hakim Danish yang juga pelumba AEON Credit MT Helmets MSi melakukan perkara sama pada sesi Latihan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/19/20261 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sensasi apabila memecahkan rekod sepusingan terpantas kelas Moto3 di Litar Brno sebanyak dua kali pada hari pertama Grand Prix (GP) Republik Czech, hari ini.
Selepas melakukan kejutan pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) dengan merekodkan masa 2 minit 04.938 saat (s) yang sekali gus meleburkan rekod lama milik pelumba Itali, Guido Pini (2:05.019s), pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu melakukan perkara sama pada sesi Latihan.
Rentak cemerlang pelumba berusia 18 tahun itu berterusan apabila dia memadam rekodnya sendiri dengan mencatatkan masa baharu 2:04.754s yang menariknya dilakukan pada percubaan terakhirnya.
Pelumba Sepanyol, David Almansa mencatatkan masa ke-2 terpantas (2:04.944s), sementara pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles dari pasukan CFMoto Gaviota Aspar Team ke-3 terpantas (2:05.013s).
Keputusan itu secara menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu mengetuai senarai 14 pelumba layak terus ke sesi Kelayakan 2 (Q2) esok, bagi memburu petak permulaan terbaik menjelang perlumbaan sebenar pada Ahad.
Bercakap kepada media Malaysia, Hakim berkata susun atur Litar Brno amat serasi dengan gaya tunggangannya.
"Saya sangat gembira menikmati tunggangan di trek Brno ini. Dari segi susun atur, saya sangat suka selekohnya. Litar ini mempunyai banyak selekoh pantas dan besar yang menuntut kelajuan selekoh yang tinggi," katanya.
Kata Hakim Danish pelarasan jentera yang sempurna daripada pasukan turut memainkan peranan besar menyuntik keyakinan kepadanya untuk memerah kelajuan jentera sepenuhnya.
"Pelarasan disediakan pasukan membuatkan saya sangat selesa dengan jentera. Setiap kali keluar beraksi, pasukan pasti melakukan penambahbaikan dan ini meyakinkan saya untuk terus mengerah seluruh usaha.
"Kerana itulah saya berjaya melakukan catatan masa pusingan yang pantas kerana saya berasa sangat yakin di litar ini," katanya.
Biarpun memegang status pelumba terpantas litar ketika ini, Hakim enggan terlalu selesa dan sedar cabaran lebih getir bakal menantinya pada sesi kelayakan esok.
"Untuk esok saya perlu kekal fokus dan bekerja keras. Masih ada ruang yang perlu saya perbaiki kerana saya menjangkakan ramai pesaing akan bertindak pantas melakukan penambahbaikan ke atas jentera mereka. Saya harap dapat terus melakukan yang terbaik," katanya.

