DUA Pelumba Idaman Honda
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/24/20251 min read


PENGELUAR gergasi Jepun, Honda dilaporkan sedang berusaha memikat dua pelumba untuk menguatkan pasukannya di MotoGP.
Honda ketika ini kuat dikaitkan dengan pelumba KTM, Pedro Acosta dan penyandang juara dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu tetapi menurut laporan Gazzetta dello Sport, kedua-dua pelumba itu menjadi sasaran mereka.
Dan gandingan itu dikatakan mampu mengimbas memori betapa pengeluar itu pernah menguasai pentas kejuaraan berkenaan satu ketika dulu.
"Honda ketika ini sedang berusaha untuk 'projek khas' dengan sasaran mengambil kedua-dua pelumba," lapor akhbar berkenaan.
"Dilakukan dalam penuh kerahsiaan, perbincangan untuk mendapatkan Pedro Acosta adalah terbuka dan berterusan.
"Selain itu, sasarannya adalah mendapatkan pelumba Turki ke dalam pasukan juga,"
Lebih menarik, laporan itu turut menyebut tarikh penting untuk menandatangani Acosta hanya beberapa hari saja lagi.
Pelumba KTM, Acosta dilihat kecewa dengan kemampuan pasukannya menyediakan jentera yang berkualiti pada musim ini namun ruang untuk penambahbaikkan kini terbuka ketika ujian selepas Grand Prix Sepanyol.
Dan jika Acosta tetap tidak gembira dengan perkembangan yang dibuat KTM ketika ujian itu, dia mungkin akan memikirkan kemungkinan perpindahan ke HOnda.
Acosta ketika ini dikatakan memiliki kontrak selama beberapa tahun dengan KTM dengan bos pasukan itu, Pit Beirer berulang kali mengingatkan pencabarnya bahawa pelumba bintang mereka itu sudah pun 'diikat'.
Bagi Razgatlioglu, perbincangan perpindahannya dilihat lebih rumit dan pengurus kepada pelumba bintang Turki itu sudah menyatakan tidak berminat dengan tawaran 'pelik'.
Jika tawaran Honda adalah turut membabitkan perpindahan ke Honda ke WorldSBK selama setahun, mereka akan memilih BMW dengan pengeluar gergasi Jerman itu dikatakan bersedia untuk menyediakan Razgatlioglu kontrak baharu berstatus mega.
Selain Honda, Razgatlioglu turut mempunyai beberapa pilihan di MotoGP termasuk Yamaha dengan Acosta turut dikaitkan dengan pasukan satelit Ducati, VR46 Ducati.
