DUA Pelumba Ini Jadi Rujukan Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/13/20251 min read

PELUMBA Sepanyol, Marc Marquez mendedahkan dia menjadikan dua pelumba sebagai rujukan dalam usahanya menyesuaikan diri dengan jentera Ducati GP dan ia nampak membuahkan hasil.

Juara dunia lapan kali itu yang terkenal dengan gaya tunggangan flamboyan yang mengakibatkannya sering terjatuh untuk mencari had jentera berkata, dia perlu mengubah gaya tunggangannya pada tahun ini.

Sekalipun mengakui gaya tunggangannya sebelum ini 'lebih cantik', pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya menjuarai kedua-dua perlumbaan pembuka tirai MotoGP 2025 di Thailand dengan mempraktikkan gaya baharu itu dan lebih menarik mengharungi minggu perlumbaan tanpa mengalami sebarang insiden terjatuh.

"Salah satu perkara yang saya lakukan dengan banyak pada musim sejuk ini adalah untuk 'membersihkan' tunggangan saya," kata Marquez kepada DAZN.

"Saya bukan berada di usia 20-an lagi, saya kini 32 tahun, saya tidak boleh lagi sering terjatuh, menjaga badan saya. Kerana itu saya perlu 'bersih' (menunggang) dan menguruskan tenaga saya.

"Saya tahu sebelum ini tunggangan saya lebih kepada cantih, tetapi pada tahun lalu saya faham yang bagi saya lebih baik dengan cara ini.

"Kemudian untuk kelayakan, saya boleh menjadi lebih agresif, tetapi saya akan mencapainya selangkah demi selangkah."

Terkenal cukup handal ketika mengambil selekoh kiri, Marquez begitupun berdepan kesukaran untuk menghadapi selekoh kanan. Justeru katanya, dia sedang cuba mengatasi masalah itu dengan mempelajari gaya tunggangan rakan sepasukannya Pecco Bagnaia dan adiknya, Alex Marquez.

"Saya juga sedang berusaha untuk memperbaiki cara saya mengambil selekoh di sebelah kanan, untuk cuba memperbaiki diri saya," kata Marquez. "Saya melakukannya dengan meneliti Pecco (Bagnaia) dengan banyak, kerana dia amat kuat. Dan juga adik saya Alex (Marquez).

"Saya bertambah baik dan kekurangan saya menyusut berbanding sebelumnya. Sasaran saya adalah untuk tidak menjadi selaju sebelum ini, tetapi menjadi lebih konsisten.

"Saya melihat banyak video, saya memberi tumpuan kepada apa yang mereka buat dengan badan mereka, dengan kaki, dengan brek dan masih ada kerja yang saya perlu lakukan untuk menjadi lebih konsisten.

"Naluri saya, kadang kala masih memberitahu saya untuk kekal dengan gaya tunggangan biasa saya. Kita lihat nanti jika saya dapat kekal dengan gaya tunggangan baharu ini pada tahun ini."