DUA Pelumba RNF DNF Di Sepang, Razlan Mohon Maaf!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/14/20231 min read
TIBA ke Grand Prix (GP) Malaysia 2023 dengan sasaran yang tinggi, pasukan MotoGP negara, CryptoData RNF Aprilia MotoGP menamatkan kempen di Sepang dengan dua keputusan DNF pada perlumbaan utama, Ahad lalu.
Selain dua keputusan DNF pada perlumbaan utama, persembahan yang ditampilkan ketika Perlumbaan Sprint turut mengecewakan dengan Miguel Oliveira dan Raul Fernandez masing-masing melepasi garisan penamat di tangga ke-17 dan 18.
Keputusan itu menyaksikan CryptoData RNF Aprilia MotoGP yang diketuai Prinsipal, Datuk Razlan Razali menamatkan saingan di Malaysia tanpa sebarang pungutan mata di Sepang.
"Kami meminta maaf kerana mengecewakan semua peminat kami terutama di Portugal, Sepanyol dan Malaysia.
"Ini bukan keputusan yang kami harapkan tetapi kami tidak akan mengalah, kami melangkah ke depan dan bangkit dengan lebih kuat di Qatar," kata Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC.
Mengulas prestasi di Sepang, Razlan berkata dia kehilangan kata-kata terhadap apa yang berlaku kepada pasukannya.
"Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, tetapi perasaan yang kami rasa ketika ini adalah, kami benar-benar kecewa, geram dan marah dengan keputusan yang diraih.
"Sekali lagi, ini adalah DNF (Tak habiskan perlumbaan) ketiga untuk pasukan dan ia berlaku ketika Grand Prix di laman sendiri, yang membuatkan ia sukar untuk diterima.
"Tetapi apa yang sudah berlaku sudah pun berlaku dan kami perlu bergerak ke depan bagi baki dua pusingan.
"Sebagai pasukan, kami benar-benar mahu mengetahui kesalahan kami, mencari jalan penyelesaian bersama Aprilia, bekerja dengan amat keras untuk mendapatkan yang terbaik kepada pelumba-pelumba kami sekurang-kurangnya pada dua perlumbaan yerbaik.
"Dan kami juga berharap untuk mengekalkan kedudukan kelapan pada penghujung kejuaraan," katanya.