DUA Podium Sasaran Hakim Danish Di Le Mans

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/10/20241 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli terus menagih sokongan dan doa rakyat Malaysia untuknya menghadapi Pusingan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Le Mans, minggu ini.

Seperti diketahui, pelumba kelahiran Terengganu itu mengharungi jadual cukup padat yang menyaksikan penampilannya di Perancis adalah adalah untuk minggu keempat berturut-turut buatnya beraksi di litar secara kompetitif.

Tetapi tidak mahu menjadikannya sebagai alasan, keputusan cemerlang kekal menjadi sasaran pelumba berusia 17 tahun itu termasuk mengulangi podium yang diraihnya pada Pusingan 1 sebelum ini.

Dan lebih menarik, sasaran pelumba yang turut beraksi dalam kempen Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP itu adalah podium di kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Le Mans.

"Ini kali kedua saya berlumba di litar Le Mans," kata Hakim Danish. "Pada tahun lepas saya tamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke 9 dan kemalangan pada Perlumbaan 2.

"Untuk tahun ini, sasaran saya adalah untuk bersaing dengan kelompok hadapan dan berharap untuk podium lagi untuk kedua-dua perlumbaan.

"Jangan lupa sokong dan doakan saya untuk minggu ini," katanya.

Selepas aksi Pusingan 1 RBMRC 2024 di Jerez dua minggu lalu, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-5 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 27 mata yang diperoleh selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-9 dan naib juara pada Perlumbaan 2.