'DUCATI Akan Bangkit'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/28/20251 min read

PELUMBA VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio memberi amaran pengeluar Itali itu akan bangkit selepas mengharungi dua pusingan yang sukar di Le Mans dan Silverstone.

Di Le Mans, Perancis, rekod 22 kemenangan berturut-turut Ducati lebur dengan kejayaan yang diraih Honda diikuti kemenangan Aprilia di Grand Prix (GP) Britain yang dipenuhi banyak drama.

Malah jika Fabio Quartararo tidak berdepan masalah mekanikal terhadap jentera Yamaha M1 miliknya di Silverstone, Ducati mungkin terpaksa berdepan hakikat perit tiada pelumba mereka berada di podium.

Pelumba terbaik Ducati di Silverstone diraih pendahulu kejuaraan, Marc Marquez daripada Ducati Lenovo di tempat ketiga diikuti Franco Morbidelli (VR46 Ducati) ke-4 dan Alex Marquez (Gresini Ducati) ke-5.

Pelumba rookie, Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) dan Di Giannantonio (VR46 Ducati) masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-9 dan ke-10 dengan rakan sepasukan Marc Marquez, Francesco Bagnaia mengalami kemalangan.

"Saya fikir Aprilia sentiasa amat kuat di sini (Silverstone)," kata Giannantonio. "Mereka meraih podium pertama mereka di sini, kemudian kemenangan pertama, jadi ia sentiasa litar yang bagus untuk mereka.

"Quartararo mendapat permulaan yang menakjubkan dan bertaruh untuk menggunakan tayar depan jenis soft. Bagi kami, dengan medium, perlumbaan yang dimulakan semula agak sulit untuk mendapatkan suhu yang baik bagi tayar depan."

Di Giannantonio yang menamatkan Perlumbaan Sprint pada Sabtu di kedudukan podium berkata dia bergelut dengan masalah brek pada perlumbaan utama.

"Saya tidak dapat menghentikan jentera saya seperti saya mahukan atau seperti semalam (Sabtu)," katanya. "Kami kehilangan masa dan juga posisi kerana ramai pelumba memintas saya dengan mudah.

"Kami hilang peluang kerana kami mempunyai kepantasan untuk bersaing merebut podium.

"Ducati pada hari ini (Ahad) berdepan dengan banyak masalah di sini. Tetapi semua orang tahu yang Ducati akan bangkit dan berjuang untuk perlumbaan seterusnya," kata Di Giannantonio yang turut menunggang jentera berstatus 'kilang' Ducati GP25.