Ducati Akan Jadi Lebih Lemah Pada 2025, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/26/20241 min read

DUCATI diakui sendiri bosnya, Gigi Dall’Igna akan menjadi lebih 'lemah' dalam kempen MotoGP 2025 terutama tanpa kehadiran pasukan satelit rasminya, Pramac Racing.

Begitupun, Pengurus Besar Ducati Corse itu turut menegaskan yang 'kekurangan' itu dapat diatasi dengan kehadiran 'barisan pelumba terbaik' jenama itu dalam sejarah MotoGP.

Pengeluar yang mendominasi saingan MotoGP musim ini mencipta kejutan tahun ini apabila mengikat kontrak dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez berbanding menaikkan pangkat pelumbanya di Pramac, Jorge Martin.

Keputusan itu menyaksikan Martin membuat keputusan untuk menyertai Aprilia dengan Pramac membuat keputusan untuk menyertai Yamaha bagi kempen 2025.

Dan berbanding lapan jentera di grid MotoGP pada musim ini, Ducati hanya menyenaraikan enam jentera dan hanya tiga daripadanya berstatus 'kilang' yang digunakan Francesco Bagnaia, Marquez dan pelumba VR46, Fabio Di Giannantonio.

"Kami mungkin pengeluar pertama yang cuba untuk menggunakan data daripada pasukan satelit dalam usaha untuk menambahbaik jentera, dan sudah tentu peluang kami terhadap peluang itu akan berkurangan di masa depan," kata Dall’Igna.

"Pengeluar lain belajar yang ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan, jadi ini adalah realitinya.

"Secara keseluruhan, kami akan lebih lemah berbanding pada tahun ini kerana jumlah pelumba yang kami ada akan berkurangan pada musim depan.

"Tetapi daripada sudut lain, untuk pasukan 'kilang' kami akan mempunyai mungkin pelumba-pelumba terbaik dalam sejarah Ducati.

"Perkara lain yang diambil daripada kami bukan saja pelumba-pelumba tetapi ramai jurutera, Yamaha, Aprilia dan sekarang Honda. Sudah tentu ini akan meningkatkan semangat kami untuk melakukan yang terbaik."

Daripada 14 pusingan yang sudah berlangsung musim ini, Ducati memenangi 13 perlumbaan dan hanya terlepas tiga perlumbaan Sprint dan mengesahkan gelaran dunia kategori pengeluar di GP Emilia Romagna.