DUCATI Akui Aprilia Kini Penanda Aras, Tekad Bangkit Di Jerez!
Kemenangan Marco Bezzecchi pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat terus mengukuhkan lagi hakikat jentera Aprilia kini adalah yang terbaik di grid MotoGP dan ia diakui Pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/6/20261 min read


DUCATI tidak berselindung mengakui mereka bukan lagi penanda aras di pentas MotoGP, namun kekal optimis untuk mengatasi Aprilia sekali gus mengekalkan gelaran dunia yang dimiliki sejak beberapa musim lalu.
Kemenangan Marco Bezzecchi pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat terus mengukuhkan lagi hakikat jentera Aprilia kini adalah yang terbaik di grid MotoGP dan ia diakui Pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi.
Tardozzi memetik laporan Sky Italy percaya pengeluar dari Borgo Panigale itu sudah pun diatasi oleh pembangunan pesat Aprilia sepanjang 12 bulan lalu, menyebabkan pelumba mereka kini terpaksa bekerja keras untuk 'mengejar' dari belakang dalam perlumbaan.
"Aprilia menunjukkan peningkatan yang sangat ketara," kata Tardozzi. "Saya meneliti data tahun lalu dan tahun ini, dan jelas sekali Aprilia sudah melakukan lonjakan prestasi yang luar biasa sekitar tujuh hingga lapan persepuluh saat.
"Saya menilai prestasi dua pelumba Aprilia dari tahun lalu dan tahun ini iaitu (Ai) Ogura dan Bezzecchi. Bezzecchi mempunyai rentak sekitar 0.7 saat lebih pantas, manakala Ogura pula 0.8 saat lebih laju.
"Kami (Ducati) hanya meningkat sekitar 0.1 hingga 0.2 saat, jadi jelas perkembangan Aprilia sangat mengagumkan. Mereka memiliki pelumba yang hebat, sama seperti kami, tetapi buat masa ini kami terpaksa mengejar mereka."
Selepas mengharungi tiga pusingan di awal musim, Aprilia kini selesa mendominasi ketiga-tiga pusingan, manakala Ducati terpaksa menahan asakan KTM untuk merebut kedudukan kedua.
Ketika ini, pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio muncul wakil terbaik Ducati dalam carta kedudukan pelumba, namun masih ketinggalan di belakang gandingan pasukan kilang Aprilia, Bezzecchi dan Jorge Martin, serta pelumba sensasi KTM, Pedro Acosta.
Bagi kedudukan pasukan, skuad utama Ducati agak jauh ketinggalan di tangga keempat, berada di belakang pasukan Aprilia, Trackhouse, dan KTM.
"Masih ada baki 19 perlumbaan. Belum ada yang kalah, walaupun nampaknya kami sedikit ketinggalan pada masa ini," katanya.
Saingan MotoGP dijadual bersambung bagi pusingan 4 pada hujung bulan ini di Jerez, Sepanyol.

