DUCATI Atau BMW? Hafizh Syahrin Jangka Umum Minggu Ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/14/20231 min read

SELEPAS dua tahun bergelumang di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas elit WorldSBK, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah sah 'angkat kaki' daripada kejuaraan itu musim ini dengan destinasinya adalah kembali ke pentas Asia.

Sekalipun bukan rahsia Hafizh akan membawa nama pasukan JDT Racing Team pada musim depan, begitupun perincian mengenainya, termasuk jenama jentera yang digunakan masih dalam status 'teka-teki'.

Secara rasmi tidak lagi bergelar pelumba pasukan Petronas MIE Honda Racing pada hujung minggu lalu, Hafizh ketika ditemui ketika Grand Prix Malaysia 2023 di Sepang berkata dia dan pasukannya akan memberikan perincian lebih lanjut mengenai pasukannya pada minggu ini.

"Saya sedar ramai yang menunggu termasuk pihak media mengenai perkembangan membabitkan diri saya dan pasukan. Ia bukanlah pengumuman yang begitu besar tetapi ia adalah apa yang kami akan lakukan pada tahun depan.

"Jadi mungkin saya boleh mengesahkan langkah seterusnya mengenai projek karier saya," kata Hafizh.

Bulan lalu, pemilik JDT Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan perancangannya untuk memperluaskan lagi nama JDT dengan menyertai sukan permotoran dua roda tahun depan.

Bermula di pentas asia iaitu Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), JDT Racing Team turut dikemudi Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP negara.

Begitupun setakat ini, belum ada pengesahan JDT Racing Team mengadakan kerjasama bersama mana-mana pengeluar begitupun mengikut risikan, ia bukanlah jenama dari Jepun tetapi dari Eropah.

Dan nama yang kuat dikaitkan adalah jenama ikonik Itali yang sedang 'mengganas' dalam kempen WorldSBK dan MotoGP tahun ini selain pengeluar gergasi Jerman, BMW Motorrad.

Selain pentas Asia, JDT Racing Team juga berhasrat untuk beraksi di pentas tinggi dengan sasaran mereka di peringkat global adalah di WSBK.