DUCATI Bakal Uji Pakej Aerodinamik Baharu, 'Tak Pernah Dilihat' Di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/23/20241 min read
DUCATI Lenovo memperkenalkan 'Liveri' baharunya bagi kempen MotoGP 2024 namun jentera yang sama akan mengalami evolusi terutama ketika sesi ujian rasmi pra-musim di Sepang, bulan depan.
Mengakui ujian pertama bagi jentera musim 2024 (Valencia) memberikan banyak tekanan dan kegelisahan, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, ujian di Sepang lebih 'signifikan'.
Dengan selang tempoh hanya sebulan sebelum saingan pembuka tirai musim 2024, jentera yang akan diuji di Malaysia seharusnya hampir sama dengan jentera yang akan digunakan di Qatar.
"Kami mengharungi sesi latihan pertama dengan tekanan yang tinggi, banyak adrenalin dan rasa bimbang kerana ia adalah hari pertama kamu mendengar deruan jentera ini bersama-sama," kata Dall’Igna.
"Kamu tahu apa yang kami lakukan, kamu tahu sejauh mana kami membangunkan jentera kami, tetapi kamu tidak pernah tahu apa yang pesaing kamu lakukan di tempat mereka.
"Kami amat-amat gembira dengan apa yang kami lakukan... tetapi di Sepang, penunggang-penunggang kami perlu menilai kerja kami berdasarkan enjin, kerangka dan keseluruuhan jentera (2024)," katanya.
Sementara itu, Dall’Igna turut memberi bayangan yang jentera Ducati pada musim 2024 akan memperoleh pakej aerodinamik baharu dan tak pernah dilihat sebelum ini.
Dan memetik laporan Crash.net, ia 'Amat berbeza daripada yang pernah digunakan sebelum ini.'
Ducati pada musim 2024 sekali lagi akan dipacu lapan pelumba dengan pasukan 'kilang' dikemudi penyandang juara, Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini.
Dua lagi pelumba yang menggunakan jentera spesifikasi 'kilang' 2024 adalah kedua-dua pelumba pasukan satelit Pramac Ducati, Jorge Martin dan Franco Morbidelli.
Empat lagi pelumba yang jentera spesifikasi 2023 adalah pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi dan Fabio Di Giannantonio serta pelumba Gresini Ducati iaitu adik beradik Marc dan Alex Marquez.
Sebagai info, ujian pra-musim MotoGP di Sepang dijadual pada 6 hingga 8 Februari depan.