Ducati, Bautista Cemerlang Di Portimao, Tapi Yamaha, Toprak Heret Penentuan Kejuaraan Dunia Ke Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/2/20231 min read

DUCATI menerusi pelumbanya, Alvaro Bautista meraih kemenangan hatrik di Pusingan ke-11 WorldSBK Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 di Portimao, Portugal tetapi kejayaan itu masih belum mampu memberinya gelaran dunia.

Sekalipun tidak merangkul petak utama, Bautista memenangi Perlumbaan 1 pada Sabtu dengan bergaya.

Kejayaan itu diteruskan pada Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 sekalipun mendapat tentangan sengit terutama daripada juara dunia WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu dari Pata Yamaha Prometeon WorldSBK.

Toprak dari Turki juga jelas tidak mahu Bautista menjulang gelaran dunia (penunggang) lebih awal apabila turut muncul naib juara dalam ketiga-tiga perlumbaan.

Melengkapkan kedudukan podium pada Perlumbaan 1 adalah pelumba Kawasaki, Jonathan Rea, Andrea Locatelli (Pata Yamaha Prometeon WorldSBK) Perlumbaan Superole.

Pada Perlumbaan 2, rakan sepasukan Bautista, Michael Ruben Rinaldi mengisi kedudukan terakhir di podium.

Sekalipun belum mengesahkan gelaran dunia, Bautista sememangnya berada di landasan yang tepat dan dibezakan 50 mata di puncak carta mengatasi Toprak.

Sementara itu, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah sekali lagi tak berjaya mengutip sebarang mata dalam ketiga-tiga perlumbaan.

Keputusan itu mengikuti persembahan di Aragon pada pusingan sebelum ke-9. Sebagai rekod, Hafizh sebelum ini tidak pernah gagal meraih mata dalam setiap pusingan perlumbaan disertainya sebelum Aragon.

Perlumbaan pusingan penutup tirai WSBK 2023 dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol pada 27 hingga 29 Oktober depan.

Kedudukan carta kejuaraan WorldSBK 2023

1. Alvaro Bautista (Aruba.it Racing – Ducati) 566 mata (m)

2. Toprak Razgatlioglu (Pata Yamaha Prometeon WorldSBK) 506m

3. Jonathan Rea (Kawasaki Racing Team WorldSBK) 350m

4. Andrea Locatelli (Pata Yamaha Prometeon WorldSBK) 300m

5. Axel Bassani (Motocorsa Racing) 244m

6. Michael Ruben Rinaldi (Aruba.it Racing – Ducati) 233m

7. Danilo Petrucci (Barni Spark Racing Team) 205m

8. Xavi Vierge (Team HRC) 140m

9. Alex Lowes (Kawasaki Racing Team WorldSBK) 140m

10. Remy Gardner (GYTR GRT Yamaha WorldSBK Team) 139m

*21. HAFIZH SYAHRIN (PETRONAS MIE RACING HONDA0, 10m