DUCATI Belum Boleh Puas Hati Selagi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/21/20251 min read


DUCATI jelas gembira dengan pencapaian yang diperoleh setakat ini di MotoGP tetapi pengeluar motosikal gergasi Itali itu masih belum boleh berpuas hati terutama apabila ia membabitkan Francesco Bagnaia.
Ketika juara dunia lapan kali, Marc Marquez dari Ducati Lenovo menampilkan dominasi penuh, seorang lagi pelumba pasukan itu, Bagnaia bergelut untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya.
Mengakui apa yang diperoleh Marquez sebagai cukup menggembirakan, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menjelaskan perasaannya berbelah bahagi dan menegaskan mereka masih belum boleh berpuas hati selagi Bagnaia belum bangkit.
"Satu lagi podium yang diisi Ducti dengan lima jentera kami berada di kedudukan lima terbaik," kata Dall’Igna memetik laporan Crash.net.
"Tidak, kami tidak akan pernah terbiasa dengan perkara ini, dan kami juga tidak mahu, kerana ini terlalu bagus dan seperti tidak menghormati usaha luar biasa yang semua orang sedang lakukan.
"Kemenangan ke-19 berturut-turut, yang ke-30 daripada 31 perlumbaan terakhir, didahului oleh hatrik ke-10 berturut-turut dalam perlumbaan pendek pada hari Sabtu."
Ketika Marquez memenangi keempat-empat perlumbaan yang ditawarkan setakat ini, Bagnaia tampak tidak berada di prestasi terbaik apabila sekadar meraih tiga kedudukan ketiga dan satu tempat ke-4.
Keputusan itu menyaksikan dia ketika ini ketinggalan 31 mata di belakang rakan sepasukannya itu malah turut menyatakan masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan jentera Ducati GP25.
"Perasaan itu, sebaliknya, masih belum dimiliki oleh Pecco, yang membuatkan saya berasa sedih sebanyak mana permulaan yang luar biasa oleh Marc yang membuatkan saya teruja."
"Saya tidak akan berpuas hati dengan keputusan kami, tidak kira sebagus mana mereka sudah berada, sehingga kami memberikannya (Pecco) kemungkinan untuk mempamerkan potensi penuhnya di atas litar, membenarkannya bersaing dengan asas yang sama dan berada di posisi sepatutnya dia layak dalam pertarungan antara juara.
"Kami akan bekerja keras untuk perkara ini, dan berpuas hati dengan langkah yang diambil setakat ini, tetapi masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum sasaran dicapai."
