DUCATI Belum Puas, Perbincangan 'Pancing' Joan Mir Sedang Berjalan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20231 min read

DUCATI memiliki jentera terbanyak di grid MotoGP musim ini dan pengeluar Itali itu nampaknya belum menutup ruang untuk pelumba - terutama yang berkuaiti dan berhasrat menyertai kem mereka.

Terbaharu adalah pelumba Repsol Honda dan bekas juara dunia MotoGP musim 2020 bersama Suzuki, Joan Mir.

Menurut laporan Motosprint, Mir dikatakan sedang 'dalam perbincangan untuk beberapa situasi' yang menyaksikan dia meninggalkan Honda. Dan pasukan Gresini Racing adalah destinasi pilihannya untuk menunggang jentera Ducati.

'Pelana' di Gresini Racing dijangka mempunyai kekosongan andai mereka melepaskan Fabio di Giannantonio tetapi perlu diingat, Mir bukan satu-satunya calon untuk mengisi lompong yang ada.

Pelumba Moto2, Tony Arbolino juga dikaitkan dengan pasukan itu selain pelumba Perancis, Johann Zarco jika khabar angin membabitkan Marco Bezzecchi berpindah ke Pramac menjadi kenyataan.

“Bukan satu kepastian yang Mir akan memperolehnya," tulis laporan itu yang turut dipetik Crash.net. "Tetapi minat yang ditunjukkannya memberikan Ducati satu lagi pilihan yang mengujakan untuk barisan pelumba mereka pada musim 2024.

Jika mengikut kontrak, Mir akan bersama Repsol Honda sehingga musim depan namun prestasi yang dipamerkan pada musim ini tidak begitu menyakinkan malah lebih buruk berbanding rakan sepasukannya, Marc Marquez.

Selepas lapan pusingan berlangsung, Mir hanya melengkapkan satu pusingan iaitu di Portimao, Portugal dan banyak menghabiskan masa menjalani proses pemulihan susulan kecederaan. Dia dijangka akan kembali beraksi di Silverstone pada 6 Ogos depan.

Sumber imej: FB Joan Mir