DUCATI Buat Keputusan Yang Logik Pilih Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/11/20241 min read

DUCATI berdepan kritikan apabila dilihat melakukan keputusan pelik dan mungkin tidak adil ketika menyisihkan Jorge Martin bagi memberi laluan kepada Marc Marquez untuk beraksi di Ducati Lenovo, musim depan.

Keputusan itu menyaksikan Ducati bukan saja kehilangan Martin, tetapi mencetus rantaian apabila dua lagi pelumba terbaiknya di grid, Enea Bastianini dan Marco Bezzecchi bertindak angkat kaki.

Malah pengeluar Itali itu turut kehilangan pasukan satelit utamanya di MotoGP, Pramac Racing yang membuat keputusan menyertai Yamaha.

Tetapi bagi bekas bos Suzuki MotoGP, Livio Suppo keputusan yang dibuat juara dunia itu sebagai logik terutama dari sudut kewangan.

"Sudah tentu," kata Suppo ketika ditanya mengenai perkara itu oleh MOW Mag. "Jika kamu berada dalam situasi Ducati, di mana kamu mempunyai jentera terbaik dan secara praktikalnya kesemua pelumba yang menunggangnya adalah yang terbaik, ia menjadi lebih sukar.

"Kerana secara praktikal adalah mustahil untuk mengekalkannya (pelumba), sekalipun ia hanya dari sudut pandang ekonomi.

"Pertimbangkan yang mereka berdepan dengan situasi ini dengan pelumba-pelumba muda yang murah, tetapi lebih banyak mereka menang dan kosnya menjadi lebih tinggi.

"Kamu tidak boleh menghabiskan berjuta-juta euro kepada empat pelumba. Jadi mereka perlu membuat pilihan. Adalah normal yang mereka tidak akan sentiasa seperti ini.

"Malah kita juga mempunyai bukti yang Gigi Dall’Igna lebih gemar yang Martin menyertai pencabarnya, bukan Marquez."

Untuk Ducati, ketiadaan Pramac Racing menyaksikan mereka hanya menyenaraikan enam jentera Desmosedici pada musim malah mereka hanya membariskan tiga jentera berstatus 'Kilang' berbanding empat musim ini yang turut memberikan mereka 'kelegaan' dari sudut kewangan.