'DUCATI Buat Pasukan Lain Tersekat'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/17/20241 min read

DUCATI perlu menyelesaikan kekusutan membabitkan rakan sepasukan Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo bagi musim 2025 untuk mengelak 'pergerakan' pelumba daripada terus 'tersekat'.

Pandangan itu disuarakan Prinsipal pasukan Trackhouse Aprilia, Davide Brivio yang mengakui perpindahan membabitkan pelumba ketika ini tak dapat diputuskan selagi pengeluar Itali itu belum membuat keputusan.

Ducati ketika ini perlu memilih sama ada Jorge Martin, Marc Marquez dan Enea Bastianini bagi menyarung sut lumba berwarna merah musim depan.

Dan mana-mana pelumba yang tidak memperoleh 'pelana panas' itu dikatakan akan menjadi sasaran pencabar utama lain berstatus 'kilang' diikuti pasukan-pasukan satelit.

"Banyak yang berlaku tetapi segala-galanya tersekat sehingga saya fikir pasukan-pasukan 'kilang' memulakan langkah mereka, bermula daripada Ducati," kata Brivio kepada MotoGP.com.

"Jadi akan ada beberapa pelumba yang akan kecewa dan mungkin akan cuba untuk pergi ke pasukan 'kilang' lain.

"Apabila (kesemua) pasukan 'kilang' sudah bersedia, akan ada lagi beberapa pelumba-pelumba yang kecewa.

"Ketika ini kami perlu menunggu. Juga kami perlu mendapatkan pemahaman dengan Miguel (Oliveira) dan Raul (Fernandez) apa yang mereka mahu lakukan.

"Semua orang bercakap dengan semua orang, tetapi tiada apa-apa yang berlaku," katanya.

Untuk Trackhouse Aprilia yang dimiliki firma Amerika Syarikat, pasukan itu ketika ini kuat dikaitkan dengan pelumba Moto2 dari negara Uncle Sam iaitu Joe Roberts.

Tetapi Brivio turut memberi petunjuk yang pasukan itu patut menyenaraikan pelumba sedia ada di MotoGP yang berkemungkinan terbaik untuk posisi berkenaan.

"Kami mempunyai sasaran tersendiri, untuk bersaing di kedudukan yang sebaik mungkin. Jadi kami tidak semestinya perlu menyenaraikan pelumba muda untuk Aprilia," katanya.

Antara nama-nama besar yang berada dalam minda Brivio pastinya juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir dan Alex Rins yang kedua-duanya memulakan karier MotoGP bersama Suzuki.