DUCATI Catat RM 5.47 Bilion Perolehan, Jual 58.2k Unit Motosikal 2023

TERKINI

3/20/20241 min read

DUCATI meneruskan rekod cemerlang bukan saja dari sudut sukan permotoran malah perniagaan apabila mencatatkan perolehan pendapatan sejumlah € 1,065 juta (RM 5.47 Bilion) tahun lalu.

Secara keseluruhan, ini kali kedua syarikat berpangkalan di Borgo Panigale, Itali itu mencatatkan perolehan melebihi € 1 Bilion dan menjual sejumlah 58,000 unit motosikal sepanjang tahun 2023.

Begitupun, angka yang dicatatkan itu mengalami sedikit penurunan berbanding rekod yang dicapai pada tahun sebelumnya iaitu lebih 60k unit jualan dengan € 1,089 juta (RM 5.59 Bilion) perolehan.

Tetapi dari sudut keuntungan, Ducati terus menunjukkan peningkatan dengan memperoleh € 112 juta (RM 575.5 juta) yang juga 10.5 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.

Seperti diketahui, Ducati pada tahun lalu mengekalkan penguasaannya dan terus menakluk dua kejuaraan terbesar perlumbaan dua roda dunia - MotoGP dan WorldSBK.

"Keputusan yang diperoleh Ducati pada 2023 membuktikan keberkesanan keputusan strategik dan polisi pelaburan pembiayaan dalaman yang kami inginkan selama bertahun-tahun," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

"Kami menutup tahun kewangan dengan perolehan yang sekali lagi melebihi 1 bilion euro dan mencatatkan rekod daripada operasi, yang menjadi daya tambah kepada kejayaan di arena perlumbaan yang menyaksikan kami menjadi juara dunia di MotoGP dan WorldSBK untuk tahun kedua berturut-turut.

"Dikuatkan dengan matlamat yang berjaya dicapai, kami memandang ke hadapan dengan keazaman, meneruskan pelan pembangunan jenama dan rangkaian produk, dengan keinginan untuk memperluas kehadiran kami ke segmen-segmen baharu, berinteraksi dengan penunggang baharu, dan memperluas komuniti Ducatisti. Kehadiran kami dalam segmen 'motocross' yang dirancang pada tahun ini adalah buktinya."

Ducati beberapa tahun kebelakangan ini terus meningkatkan portfolionya dengan memperkenalkan beberapa model antaranya DesertX, membina model 'motocross' terbaharu Desmo450 MX selain Ducati Hypermotard 698 Mono.