DUCATI Dah Rangka Pelan Nak Kekalkan Nicolo Bulega

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/14/20251 min read

DUCATI dikatakan sedang merangka rancangan agar pelumba bintangnya di WorldSBK, Nicolo Bulega kekal bersama pengeluar Itali itu.

Bulega yang kontraknya bersama Ducati berakhir pada hujung musim ini tampil dengan persembahan mengujakan sejak tiba di grid WorldSBK musim lalu apabila menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Toprak Razgatlioglu.

Dan prestasi itu diteruskan pada musim ini apabila pelumba kelahiran Itali itu menang tujuh daripada 12 perlumbaan yang berlangsung sekali gus menghuni carta teratas kedudukan pelumba di WorldSBK.

Justeru, Ducati dikatakan tidak rela untuk membiarkan Bulega terlepas tatkala beberapa pasukan dilihat memasang hasrat untuk mendapatkan khidmat juara dunia WorldSSP 2023 itu.

Memetik laporan Sky Italia, antara yang dibincangkan adalah Bulega akan menjadi sebahagian daripada program ujian jentera MotoGP, Ducati Desmosedici GP pada musim depan.

Dan situasi itu menyaksikannya berpeluang untuk menyertai kempen elit itu pada 2027 ketika kejuaraan itu mula melaksanakan pelbagai perubahan termasuk penukaran tayar rasmi daripada Michelin ke Pirelli.

Seperti pelumba lain di WorldSBK, antara kelebihan Bulega adalah menerusi penggunaan tayar Pirelli yang dilihat mampu memberikan kelebihan kepada pasukan bertanding.

Apa yang menarik, antara yang terbabit dengan perbincangan berkenaan yang dikatakan berlangsung ketika perlumbaan di Cremona, Itali termasuklah bos besar Ducati Corse, Gigi Dall'Igna dan Mauro Grassilli.

Menurut laporan itu, dua topik utama menjadi tumpuan pada perbincangan itu iaitu syarat yang diperlukan Bulega untuk menjadi pelumba Ducati MotoGP yang merangkumi prestasi, rekod dan sebagainya.

Keduanya adalah Ducati perlu memastikan keputusan untuk merekrut Bulega berbaloi dari sudut kewangan di mana mereka perlu melihat sama ada memberikannya tempat dalam pasukan itu lebih menguntungkan berbanding membiarkannya disambar oleh pasukan lain.

Setakat ini, BMW Motorrad sudah pun dilaporkan meletakkan nama Bulega dalam senarai mereka jika pengeluar gergasi Jerman itu kehilangan khidmat Razgatlioglu.

Bulega ketika ini sedang mendahului Razgatlioglu dengan kelebihan 34 mata di puncar carta kejuaraan WorldSBK.