DUCATI Dedah 'Dah Hampir Tahu' Nak Guna Enjin GP24 Sejak Ujian Barcelona
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/18/20251 min read


DUCATI sudah menyedari mereka mungkin akan perlu menggunakan enjin spesifikasi GP24 bagi jentera baharunya GP25 pada musim ini sejak ujian di Barcelona lagi, dedah bos pengeluar itu, Gigi Dall’Igna.
Selepas bergelut dengan beberapa isu terutama brek pada jentera Ducati GP25 menggunakan enjin GP25 di ketiga-tiga ujian termasuk di Sepang dan Buriram, pengeluar itu memutuskan ketiga-tiga pelumbanya Francesco Bagnaia, Marc Marquez dan pelumb VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio akan menggunakan enjin musim lalu.
Trio berkenaan juga akan memulakan musim dengan casis dan pakej aerodinamik GP24 sebelum dikemas kini dari masa ke semasa kerana ia dibenarkan peraturan.
Tetapi bagi enjin, pengeluar itu dikenakan sekatan untuk membangunkan enjin baharu selama dua musim sejurus kempen 2025 bermula.
Menariknya, Dall’Igna menjelaskan keputusan untuk menggunakan enjin GP24 bukan keputusan paling sukar dibuat pasukan itu tetapi sebaliknya adalah pemilihan pakej aerodinamik.
"Ia sudah pun jelas di Barcelona yang sekalipun ada kelebihan dari sudut prestasi dan ia lebih mudah ditunggang, ia turut mendedahkan ia adalah enjin yang lebih sulit dari sudut pengurusan brek enjin," kata Dall’Igna memetik laporan Crash.net.
"Kami semua sudah hampir bersedia untuk mengesahkan yang versi 2024 dan segala-galanya bersedia untuk pilihan itu.
"Pakej aerodinamik, sebaliknya berubah menjadi salah satu keputusan paling sukar untuk dibuat. Ia membawa kelebihan yang diragukan, terutama di litar seperti Buriram, tetapi ia membawa risiko kekurangan ke litar dengan selekoh lebih laju seperti Argentina dan Qatar.
"Kami memilih untuk berhati-hati, dan berhasrat untuk mengujinya sekali lagi dengan beberapa peningkatan pada ujian di Jerez," katanya.
Dall’Igna dalam pada itu turut mendedahkan beberapa komponen baharu bagi Ducati GP25 pada perlumbaan pembuka tirai di Thailand.
"Lengan ayun baharu dan kotak gear lulus ujian manakala dari sudut sistem merendahkan jentera, pengesahan akan diperoleh pada minggu perlumbaan," kata Dall’Igna explained.
Ducati pada musim ini terlepas plat nombor satu apabila Jorge Martin membawa nombor berkenaan ke Aprilia.
