DUCATI Dedah Ducati Monster 30th Anniversario (2024), Terhad 500 Unit

8/2/20231 min read

DUCATI, baru-baru ini mendedahkan versi edisi terhad Ducati Monster 30th Anniversario (2024) yang menjadi model episod pertama bagi siri Ducati World Premier 2024 dan uniknya, hanya dihasilkan sebanyak 500 unit seluruh dunia.

Seperti namanya dan sebagai permulaan, Ducati Monster 30th Anniversario (2024) dihasilkan bagi memperingati ulang tahun ke-30 model Monster.

Sedikit mengenai sejarah, sejak kali pertama Monster diperkenalkan pada 1993, sudah lebih 350,000 unit motosikal 'Naked' berkenaan dijual di seluruh dunia. Dan ia kekal menjadi salah satu model yang cukup popular untuk jenama itu hingga kini.

Dari sudut penampilan, Ducati Monster 30th Anniversario (2024) tampil dengan skema warna menarik 'tricolor' yang bagaikan mengambil warna bendera Itali dan dipadankan dengan rim dan fork berwarna emas.

Tetapi tidak sekadar keunikan di bahagian luaran, Ducati Monster 30th Anniversario (2024) turut dipadankan dengan komponen premium termasuk sistem suspensi daripada Ohlins serta ekzos daripada Termignoni.

Turut dipertingkatkan adalah di bahagian brek dengan Ducati Monster 30th Anniversario (2024) menggunakan kaliper brek Brembo Stylema berbanding Brembo M4.32.

Bagi mengurangkan berat, ia turut menggunakan bateri lithium ringan yang menyaksikan berat keseluruhannya berkurang 4 kg berbanding versi standard selain turut dipadankan dengan 'Steering damper' boleh laras dari Ohlins.

Selain itu, antara 'sentuhan' lain termasuklah penggunaan pelana yang memiliki logo '30th Anniversary' selain pemula di panel meter yang mengingatkan ia adalah model istimewa.

Dan setiap pembelian juga akan mendapat sijil ketulenan dan penutup motosikal khusus Monster 30th Anniversary Edition.

Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Ducati Monster 30th Anniversario (2024) kekal dengan enjin 937 cc Testastretta V-Twin yang menghasilkan 111 Hp pada 9,250 rpm dan tork 95 Nm pada 6,500 rpm.

Di pasaran tempatan, Ducati Malaysia pada Mei lalu membawakan varian tertinggi model Monster iaitu Ducati Monster SP (2023) yang dijual pada harga RM 98,900 (asas) dan tiba dalam unit cukup terhad.