DUCATI DesertX Discovery (2024) Diperkenal, 'Lasak' Dipertingkat!
TERKINI
7/7/20241 min read
DUCATI DesertX, model yang diberikan julukan 'Dirtiest Ducati' terus diberikan kemas kini oleh pengeluar motosikal premium Itali itu menerusi pengenalan Ducati DesertX Discovery (2024).
Tampil sebagai penawaran 'terlasak' Ducati setakat ini, Ducati DesertX Discovery (2024) seperti dijangkakan adalah varian 'lebih lasak' berbanding varian sedia ada.
Justeru, seperti namanya, ia memperoleh pelbagai ciri peningkatan terutama dari sudut komponen dan kelengkapan untuk aktiviti penjelajahan yang turut membabitkan laluan lasak.
Dan untuk mendapatkan kemampuan serta gaya berkenaan, Ducati DesertX Discovery (2024) dipadankan dengan kelengkapan seperti pelindung enjin, 'sump guard', pelindung tangan lebih tahan, pelindung radiator dan pemanas tangan.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan visor angin lebih besar, pemanas 'grip' dan 'tongkat' atau 'center stand', ciri yang diperlukan untuk melakukan aktiviti penyelenggaraan atau pembaikan jika perlu.
Dari sudut trenkuasa, Ducati DesertX Discovery (2024) kekal dengan padanan enjin Testastretta 11° L-Twin bersesaran 937 cc, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 110 Hp pada 9,250 rpm dan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.
Dipadankan dengan sistem canggih 'Ride-by-wire', ia menawarkan enam mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally selain Mod Kuasa.
Di pasaran Malaysia, Ducati DesertX membuat kemunculan perdananya pada 2022 dan dijual pada harga (RM 112,900) ketika diperkenalkan.