DUCATI DesertX Rally (2024) Buat Kemunculan, Lagi 'Ganas', Lasak
TERKINI
10/5/20232 min read
DUCATI baru-baru ini mengumumkan kehadiran Ducati DesertX Rally (2024) - versi naik taraf motosikal 'Adventure' popularnya DesertX yang tampil dengan ciri dan penampilan lebih lasak dan ganas.
Seperti model-model terbaharu Ducati, Ducati DesertX Rally (2024) adalah model ketiga dipertontonkan dalam siri Ducati World Premiere 2024 tahun ini.
Dari sudut rekaan, Ducati DesertX Rally (2024) mengalami perubahan penggayaan terutama selepas dipadankan dengan 'paruh' 'mud guard' yang panjang selain penggunaan liveri ikonik 'Iron Giant'.
Sebagai motosikal yang memang berkemampuan untuk meredah laluan lasak dengan baik, Ducati jelas tak berpuas hati dengan kelengkapan 'Standard'. Justeru, antara naik taraf yang diberikan kepada Ducati DesertX Rally (2024) adalah dari sudut suspensi.
Kekal dengan suspensi jenama KYB (depan dan belakang), pembaharuan yang dibuat adalah fork USD itu kini menggunakan jenis ‘closed-cartridge’ yang memberikan prestasi lebih baik ketika 'off-road'.
Kekal dengan ciri pelarasan penuh, tetapi lebih menarik, bahagian 'batangnya' turut disapu dengan 'Diamond Like Coating' dan memiliki jarak 'stroke' lebih panjang iaitu 250 mm selain lebih ringan.
Untuk suspensi belakang, penyerap hentak tunggal yang digunakan turut dipadankan dengan piston 'heavy-duty' dan jarak 'stroke' juga meningkat 20 mm kepada 240 mm.
Dengan peningkatan yang dibuat, Ducati DesertX Rally (2024) kini berpewatakan lebih lasak dengan jarak lega tanah kini meningkat kepada 280 mm dan ketinggian pelana kini 910 mm.
Dan untuk meningkatkan pengendalian, Ducati DesertX Rally (2024) turut dipadankan dengan ‘steering damper’ dari Ohlins.
Selain suspensi, turut dipertingkat adalah di bahagian roda dengan rim yang dipadakan kepada Ducati DesertX Rally (2024) kini lebih ringan berbanding rim DesertX standard.
Begitupun, saiz rim yang digunakan kekal bersaiz 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang) dari jenis 'Spoked' karbon.
Tiada perubahan ketara dari sudut membrek dengan Ducati DesertX Rally (2024) kekal menggunakan kaliper Brembo M50 dengan cakera berkembar 320 mm (depan) dan kaliper Brembo 2 piston cakera 265 mm (belakang).
Begitupun, ada sedikit perubahan di bahagian lever dibuat.
Di bahagian trenkuasa, Ducati DesertX Rally (2024) kekal dengan enjin 937 cc (Testastretta 11°, L-Twin), 2 Silinder, 4 Injap Per Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah di angka 110 Hp pada 9,250 rpm dengan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.
Sebagai motosikal moden, Ducati DesertX Rally (2024) tampil dengan ciri elektronik mengagumkan. Ada 6 mod tunggangan tersedia (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro, Rally) dan lengkap dengan ciri bantuan tunggangan elektronik seperti ABS Selekoh, Kawalan Traksi, Kawasaln Wheelie, mod kuasa dan Kawalan Brek Enjin.
Di bahagian kluster instrumen, panel yang digunakan adalah 5 inci berwarna selain kapasiti tangki bahan api 21 liter bagi perjalanan penjelajahan jarak jauh.
Untuk persoalan sama ada Ducati DesertX Rally (2024) akan memasuki pasaran Malaysia, kami menjangkakan ia akan hadir tetapi hanya masa yang akan menentukan.