DUCATI Desmosedici GP Laju - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/2/20241 min read
JUARA dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez mengakui tetap gemuruh pada penampilan sulungnya bersama jentera Ducati ketika sesi ujian 'post-musim' di Valencia November lalu.
Berdasarkan perjanjian dengan Honda, Marquez tidak dibenarkan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan Ducati sehingga kontraknya bersama pengeluar Jepun itu berakhir pada 31 Disember 2023.
Dan selepas halangan itu terbatal, pelumba kelahiran Sepanyol itu akhirnya berpeluang untuk bercakap mengenai pengalamannya menunggang jentera Ducati GP23 yang bakal digunakan musim ini.
Menariknya, Marquez pada November lalu berjaya menyinar pada penampilan pertamanya bersama Ducati dan berjaya mancatatkan masa keempat terpantas keseluruhan.
"Saya gemuruh dan perut saya rasa tidak selesa," kata Marquez memetik laporan Mundo Deportivo. "Meskipun saya sudah berada di MotoGP selama beberapa tahun, ia perubahan yang besar.
“Tetapi selepas itu saya kekal tenang, santai. Saya membuatkan hari itu tenang, santai, cuba memahami diri saya dengan pasukan teknikal baru saya dan dengan jentera baru saya.
"Pada akhirnya kamu berada di atas jentera juara, jadi ia bergantung kepada anda.
"Yang pertama adalah hari untuk mengadaptasi posisi. Kami mengubah beberapa perkara kerana saya tidak dapat merasa cukup selesa, tetapi kelajuan itu ada.
"Saya memahami jentera itu dan bagaimana untuk menguruskannya. Masih banyak yang perlu saya belajar, mungkin bukan untuk laju, tetapi untuk lebih konsisten dan selamat," kata Marquez.
Mengulas lanjut, Marquez enggan menceritakan perbandingan antara Ducati dan Honda terutama kepada umum.
"Ia jentera yang berbeza, dengan gaya tunggangan yang berbeza. Kamu meninggang jentera juara dan ia kini berada di tangan kamu, kerana itu adalah ramai pelumba ingin menunggangnya dengan pantas.
"Saya dapat mengadaptasi dengan baik daripada jangkaan kerana saya merasa bagus dengan cepat."
Sebagai info, Marquez akan bergandingan dengan adiknya, Alex Marquez di Gresini Ducati dan majlis pengenalan pasukan itu dijadual berlangsung pada 20 Januari ini.